EKONOMI

CREST GROUP MOHON SOKONGAN KERAJAAN BANGUNKAN BAKAT SEMIKONDUKTOR DALAM BELANJAWAN 2025 

09/10/2024 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Crest Group Bhd yang membuat kemunculan di Pasaran ACE, menggesa kerajaan supaya mengutamakan pembangunan bakat dan menarik pelaburan asing bagi meningkatkan pertumbuhan industri semikonduktor dalam Belanjawan 2025 akan datang.

Pengarah Eksekutifnya Ethan Au berkata gesaan itu dibuat berikutan unjuran nilai bagi industri berkenaan mencecah satu trilion dolar menjelang 2030, dipacu oleh peningkatan dalam permintaan global untuk cip yang  merentas pelbagai sektor.

“Satu daripada cadangan itu adalah dengan membenarkan pas pekerjaan sementara untuk membawa masuk bakat-bakat mahir dari luar negara, terutama bagi menghadapi kekurangan bakat tempatan.

"Kami berharap kerajaan akan melabur lebih banyak dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta akademik untuk melahirkan lebih ramai graduan sains, kerana ini penting bagi membina bakat yang akan menyokong pertumbuhan jangka panjang Malaysia dalam industri semikonduktor," katanya pada sidang media susulan majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.

Crest membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dengan harga sahamnya dibuka pada 39.5 sen, mencatat premium 4.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 35 sen. Ketika loceng pembukaan dibunyikan, sebanyak 11.3 juta saham telah niagakan.

Syarikat itu berjaya mengumpul RM45.75 juta melalui terbitan awam sebanyak 130.7 juta saham biasa baharu berdasarkan harga 35 sen sesaham.

Daripada jumlah itu, Crest memperuntukkan 34.5 peratus atau RM15.76 juta untuk menubuhkan ibu pejabat berpusat baharu; 31.7 peratus atau RM14.52 juta untuk pengembangan perniagaan dan 12.8 peratus atau RM5.87 juta bagi memperoleh peralatan demonstrasi tambahan.

Selain itu, Crest memperuntukkan 7.9 peratus atau RM3.6 juta untuk mengembangkan pasukan sokongan teknikal dan penyelenggaraannya, manakala baki 13.1 peratus atau RM6 juta adalah bagi perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Kumpulannya Lim Siong Wai berkata beliau yakin tentang masa depan syarikat dengan menyatakan premium pada harga pembukaan mencerminkan keyakinan di tengah-tengah pergolakan dalam pasaran saham global baru-baru ini.

"Ini juga menunjukkan prestasi kukuh kami ketika disenaraikan, walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran yang lebih luas," tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan