AM

KPKM PERKENAL PENGASINGAN KUASA, PERATURAN BAHARU MANTAPKAN SEKTOR PADI NEGARA

09/10/2024 01:49 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bakal melaksanakan pengasingan kuasa antara agensi berkaitan dan memperkenalkan peraturan baharu bagi memantapkan sektor padi dan beras negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata pengasingan kuasa itu melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“...kita pecahkan dengan mereka yang terlibat dalam hal industri padi supaya tidak ada tuduhan mengatakan dia (ketua unit) pakai ‘satu topi buat dua tugas’, kali ini ‘dua topi dua tugas’. Ini telah melalui libat urus yang kita buat begitu panjang dan lama dengan semua pihak.

“Sekarang ini pembangunan padi dan beras serta bahagian penguat kuasa di bawah satu pengarah. Sekarang kita nak asingkan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPKM di sini hari ini.

Mengenai peraturan baharu, beliau berkata Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import Pekeliling akan diperkenalkan dengan pekeliling mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Mohamad berkata KPKM juga telah memperkenalkan asas pengiraan baharu Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapita (PCC) beras negara selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mulai tahun ini.

“Menerusi kaedah baharu ini, pihak KPKM telah menentukan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja,” katanya dengan menambah pengiraan itu tidak termasuk jumlah pengeluaran padi dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama.

Melalui pelarasan semula metodologi pengiraan SSR dan PCC beras menggunakan kaedah baharu itu pada tahun 2023, SSR beras negara adalah pada kadar 56.2 peratus berbanding 57.9 peratus pada tahun 2022.

“Pengumuman yang lebih terperinci berkaitan kaedah baharu pengiraan SSR beras negara akan dimaklumkan Jumaat ini,” katanya.

Mengenai komitmen Sarawak dalam industri padi negara, beliau berkata peruntukan RM500 juta akan disediakan oleh negeri itu untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras perlu dicontohi negeri lain.

“Ini kerana usaha untuk meningkatkan SSR beras negara bukan sahaja terletak pada bahu KPKM, tetapi juga memerlukan sokongan dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak,” katanya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Julai mengumumkan sejumlah RM500 juta diluluskan untuk membina skim saliran tanaman padi bagi tahun 2025, iaitu peruntukan untuk kawasan penanaman padi di Sri Aman, Kuching dan Samarahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKM juga sedang fokus untuk meningkatkan SSR daging yang masih di tahap bawah 20 peratus memandangkan negara masih bergantung kepada import daging dari beberapa negara.

Justeru, beliau mengatakan satu jawatankuasa khas diketuai Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak akan ditubuhkan untuk melihat perkara ini dan dijangka satu pelan strategik dapat dihasilkan menjelang suku pertama 2025 bagi meningkatkan SSR daging negara.

Mengenai Belanjawan 2025, Mohamad berkata KPKM juga telah mengemukakan 32 cadangan inisiatif kepada Kementerian Kewangan untuk memperkukuhkan pengurusan rantaian makanan bagi menjamin bekalan yang lebih tersusun dan berstruktur kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan