AM

SHOPEE PERKASA PENIAGA PANTAI TIMUR DAN MALAYSIA TIMUR DENGAN PENYELESAIAN LOGISTIK LEBIH MANTAP

09/10/2024 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bersama landskap e-dagang Malaysia yang berkembang pesat, Shopee terus komited membantu penjual di Pantai Timur dan Malaysia Timur khususnya kawasan yang berhadapan dengan cabaran geografi dengan memberi akses terus kepada berjuta-juta pembeli.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata pihaknya telah mengurangkan masa penghantaran barang melalui kerjasama dengan rakan logistik terkemuka bagi membantu penjual di Pantai Timur dan Malaysia Timur memperluaskan capaian peniagaan mereka dan menembusi pasaran baharu seperti Lembah Klang dengan lebih pantas.

“Dengan Jaminan Tepat Waktu, Shopee menjanjikan penghantaran tepat waktu dan menawarkan pampasan untuk kelewatan, memastikan pengalaman membeli-belah yang lancar. Ini membolehkan penjual luar bandar mencapai pasaran baharu serta mengubah perniagaan tempatan menjadi kisah kejayaan di seluruh negara.

“Kerjasama ini telah meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan dengan penghantaran yang lebih pantas, lebih dipercayai, dan lebih cekap. Kini, pembeli di Lembah Klang boleh menjangkakan bungkusan mereka tiba dari Pantai Timur dalam masa dua hari atau kurang dan dari Malaysia Timur dalam tempoh tiga hingga empat hari selepas penjual menghantar pesanan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasaran e-dagang Malaysia yang dijangka berkembang sebanyak tujuh peratus setiap tahun sehingga mencecah RM1.9 trilion pada tahun 2027 berbanding RM1.4 trilion pada tahun 2023 memerlukan logistik cekap.

“Shopee kekal komited memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang untuk semua rakyat Malaysia, di mana sahaja mereka berada. Shopee akan membawakan nilai terbaik kepada pengguna sambil menyediakan sokongan logistik terbaik kepada penjual agar terus maju dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya. 

Sementara itu, peniaga CT Naz Empire Solution Siti Nur Nazifa Mazlan dari Kota Bharu, Kelantan, berkata sebagai penjaga utama keluarganya selepas kematian ibu bapa, usahanya telah membolehkan dia menyara adik-adiknya sambil membina perniagaan yang berjaya.

“Saya telah belajar banyak perkara, daripada mengambil gambar produk yang lebih baik kepada meningkatkan penyenaraian dan jualan,” kata beliau.

Pemilik Keropok Mfaizz dari Besut, Terengganu Muhammad Faizz berkata melalui platform Shopee, beliau telah mencapai pangkalan pelanggan yang lebih luas, sekali gus membantu meningkatkan perniagaannya yang kini mencapai 100,000 pesanan dengan purata 100 pesanan setiap hari. 

“Keropok lekor kami kini sampai kepada pelanggan di Selangor dan Johor, sesuatu yang kami tidak pernah bayangkan akan berlaku tanpa Shopee. Dengan pertumbuhan perniagaan ini, sekarang saya dapat membina rumah sendiri dan menyediakan pekerjaan kepada 25 pekerja tempatan,” katanya.

Pemilik Sarawak Online Store Hamidah pula berkata pihaknya telah menerima 70 peratus pesanan  dari Malaysia Barat, selain pada musim puncak seperti Hari Guru, perniagaannya dapat menjana hasil jualan sehingga RM40,000.  

“Sebelum Shopee, perniagaan saya hanya tertumpu di Sarawak. Kini, saya dapat mencapai pelanggan di seluruh negara dan Shopee memastikan produk saya tiba dengan cepat, walaupun semasa tempoh permintaan tinggi.

 “Platform Shopee membolehkan saya mengembangkan perniagaan melangkaui rumah, membolehkan saya memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh negara selain dapat membantu komuniti di Kota Samarahan, Sarawak dengan menggajikan tiga pekerja tetap, termasuk ibu tunggal dan anak yatim,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan