AM

FENOMENA AIR PASANG BESAR DI P.PINANG 18 HINGGA 21 OKT

09/10/2024 05:16 PM

GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Okt nanti berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Datuk Mohd Nazri Yasmin.

Mohd Nazri berkata berdasarkan jadual itu paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dan waktu puncak air pasang besar itu adalah antara tengah malam hingga awal pagi.

"Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang tinggi akan berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang dan mengikut piawaian JPS negeri, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia dianggap hujan sangat lebat.

"Jika berlaku hujan lebat ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpahi pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat, ini akan membawa kepada risiko banjir," katanya di sini hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama supaya berwaspada kerana risiko banjir adalah sangat tinggi jika hujan lebat berlaku ketika air pasang besar tersebut.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa, JPS Pulau Pinang telah memasang stesen amaran banjir di kawasan hotspot serta berisiko banjir menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2.

Katanya sehingga kini sebanyak 54 alat siren amaran banjir dipasang di seluruh negeri itu di mana 30 alat tersebut dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri manakala selebihnya menerusi PRAB oleh kerajaan Pusat.

Beliau berkata alat tersebut akan mengeluarkan bunyi amaran kepada penduduk apabila paras air sungai di kawasan berhampiran mencapai tahap berbahaya, membolehkan mereka bersiap sedia untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

"Sebanyak 49 alat pemantau paras air sungai telah dipasang, terdiri daripada 19 alat di bawah kerajaan negeri dan 30 alat di bawah PRAB. Ini bertujuan untuk memantau paras air sungai. Selain itu, terdapat juga 97 stesen pengukur hujan yang dipasang, dengan 53 di bawah kerajaan negeri dan 44 di bawah PRAB," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan