AM

ANWAR, XANANA BINCANG KEMASUKAN TIMOR-LESTE SEBAGAI ANGGOTA TETAP ASEAN

09/10/2024 10:27 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.

Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan di Pusat Persidangan Kebangsaan (NCC) itu mengenai permohonan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan lebih kurang 15 minit ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di NCC.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.

Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan