AM

13 KEMATIAN AKIBAT DENGGI DI PERAK TAHUN INI

10/10/2024 02:00 PM

IPOH, 10 Okt (Bernama) --  Sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan hingga Minggu Epidemiologi ke-40 (ME40) tahun ini di Perak berbanding hanya satu kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata 11 kematian direkodkan di daerah Kinta manakala satu kematian masing-masing dilaporkan di daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.

"Jumlah kumulatif kes denggi pada tahun ini sebanyak 5,956 kes berbanding 2,864 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. Ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 3,092 kes atau 108 peratus.

"Antara daerah yang paling tinggi merekodkan kes denggi ialah Kinta diikuti Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Kampar serta Batang Padang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Permaisuri Bainun di Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Sementara itu, Sivanesan dalam ucapannya berkata kesihatan mental di tempat kerja merujuk kepada kesejahteraan psikologi dan emosi pekerja yang memainkan peranan penting dalam produktiviti, kepuasan kerja serta pengurangan kadar ketidakhadiran.

"Tanda-tanda masalah kesihatan di tempat kerja adalah penurunan prestasi kerja, ketidakupayaan untuk memberi tumpuan dan perubahan dalam tingkah laku seperti peningkatan ketidakpuasan atau konflik.

"Justeru, membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental di tempat kerja tanggungjawab yang penting untuk memastikan kesejahteraan mereka," katanya.

Sivanesan berkata antara kaedah awal membantu golongan tersebut ialah mewujudkan suasana yang menimbulkan rasa selamat kepada mereka, memberi perhatian kepada tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dalam kalangan rakan sekerja dan mencuba menyediakan bantuan atau akses kepada bantuan tersebut. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan