AM

KEPUTUSAN BAWA BALIK MALBATT TERTAKLUK KEPADA UNIFIL

10/10/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Sebarang keputusan membabitkan pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 termasuk membawa balik pasukan itu akan dilakukan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pasukan MALBATT ketika ini mengekalkan kedudukan mereka di selatan Lubnan namun operasi rondaan masih dihentikan.

“Kita tertakluk kepada UNIFIL yang akan buat keputusan berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman dalam kawasan operasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Khaled turut memaklumkan pegawai dan anggota serta aset pasukan MALBATT ketika ini tidak terjejas dan berada dalam keadaan baik.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, UNIFIL mengesahkan pasukan pengamannya masih ditempatkan di pelbagai lokasi di seluruh Lubnan, dengan rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika diperlukan.

Jurucakap pasukan pengaman Andrea Tenenti mengesahkan dalam kenyataan pada Sabtu lepas  bahawa tentera Israel memaklumkan kepada UNIFIL pada 30 Sept mengenai niatnya untuk melancarkan serangan darat terhad ke wilayah Lubnan dan meminta penempatan semula beberapa kedudukan pasukan itu.

Menurut lama web pasukan interim itu, setakat 2 Sept lepas pasukan pengaman UNIFIL terdiri daripada 10,058 individu dari 50 negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan