AM

MEXUNITY PUTUSKAN SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN 2025 DI PULAU PINANG - AARON

10/10/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) --  Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco Perpaduan Negeri dan Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) memutuskan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 akan diadakan di Pulau Pinang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini berkata sambutan itu bertujuan memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih dan cekap sehingga ke peringkat akar umbi bagi mengukuhkan hubungan masyarakat serta memelihara ekosistem perpaduan.

“Sekalung penghargaan kepada semua negeri atas kerjasama utuh dalam menjayakan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2024,” kata Aaron dalam kenyataan yang dikeluarkan kementeriannya selepas mempengerusikan mesyuarat MExUnity hari ini.

MExUnity ialah wadah perbincangan antara Menteri Perpaduan Negara dan barisan EXCO Kerajaan Negeri untuk merancang serta melaksanakan usaha ke arah penyatupaduan rakyat melalui program berteraskan perpaduan di peringkat kebangsaan dan negeri.

Aaron berkata mesyuarat berkenaan juga memberikan fokus kepada perbincangan mengenai Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kajian ini mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi. Hal ini bermakna perbezaan etnik, agama dan latar belakang masyarakat di negeri ini bukan faktor penghalang kepada kesepaduan sosial. 

“Faktor Jarak Sosial (JS) yang dekat dan keakraban hubungan antara individu menjadi faktor dominan yang mempengaruhi kesepaduan sosial selain kedekatan hubungan jarak sosial itu boleh ditafsirkan bahawa sikap penerimaan dan saling percaya masyarakat di negeri ini melangkaui sempadan etnik, agama dan budaya,” katanya.

Satu kajian iaitu ‘Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia’ yang akan dilakukan pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) turut dibentang dalam mesyuarat itu dengan memberikan fokus kepada kenyataan berbaur kebencian di negara ini tanpa melibatkan isu kebebasan bersuara. 

“Kenyataan berbaur kebencian di media sosial suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama daripada segenap lapisan masyarakat. Dengan strategi dan langkah yang komprehensif serta pelaksanaan yang efektif, masyarakat multietnik mampu memperkasakan keharmonian sosial dan mengurangkan pengaruh negatif daripada kenyataan berbaur kebencian,” katanya. 

Sementara itu, Aaron menyeru barisan Exco supaya terus menyokong pelaksanaan program Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di peringkat akar umbi bagi menyemarakkan aspirasi perpaduan berteraskan Malaysia MADANI.

Beliau berkata keharmonian dalam kalangan rakyat amat penting untuk membina sebuah negara maju dan sejahtera kerana hanya dalam suasana seperti itu ekonomi dapat berkembang serta taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan