AM

MOF, BNM, DAN KPKT BINCANG STRATEGI PINJAMAN PERUMAHAN JANGKA PANJANG - AHMAD ZAHID

10/10/2024 03:21 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Cadangan Dasar Perumahan Negara, termasuk meneliti pemberian pinjaman perumahan berjangka masa panjang, akan dibincangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 3/2024 yang diadakan hari ini.

"Ia bertujuan memastikan individu dan isi rumah yang kurang berkemampuan dapat memiliki rumah tanpa terbeban dengan kenaikan harga rumah yang semakin meningkat, terutamanya melalui pembiayaan pinjaman perumahan jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NACCOL, berkata mesyuarat telah membincangkan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat dari 67.2 peratus pada tahun 2002 kepada 81.2 peratus pada 2022.

Dengan sektor hartanah kediaman kini mendominasi pinjaman sektor isi rumah dan kredit perumahan meningkat daripada 36 peratus pada 1997 kepada 59.7 peratus pada 2022, katanya perkara berkenaan dilihat mempunyai kesan besar terhadap tahap pendapatan boleh guna rakyat justeru mesyuarat bersetuju untuk menelitinya dengan lebih lanjut.

Mesyuarat itu juga menyaksikan pembentangan Jabatan Perangkaan (DOSM) berkenaan status Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dibangunkan bagi memberikan gambaran tentang jumlah perbelanjaan yang diperlukan isi rumah untuk memenuhi keperluan kehidupan wajar termasuk kemampuan penyertaan dalam masyarakat.

Menurut Ahmad Zahid, indikator tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Nov dan dijangka bahawa indikator baharu ini akan memberikan nilai tambah dalam penggubalan dasar kerajaan berkaitan kos sara hidup, termasuk pelaksanaan pemberian bantuan yang lebih tepat kepada golongan sasar.

Selain itu, pelaksanaan ciri pembayaran bersama untuk produk Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) turut dibincangkan, dengan mesyuarat dimaklumkan kaedah itu mampu memberi pilihan yang pelbagai kepada pengguna di samping persaingan yang sihat antara syarikat insurans atau takaful dalam menawarkan produk bersesuaian dengan kedudukan kewangan pengguna.

“Menurut BNM, ciri pembayaran bersama mampu memberi penawaran harga 19 hingga 68 peratus lebih murah berbanding dengan produk yang tidak mempunyai ciri pembayaran bersama menunjukkan keseimbangan yang baik terhadap penawaran dan permintaan bagi sektor perubatan dan kesihatan dalam negara,” katanya.

Selain itu, mesyuarat juga membincangkan pelaksanaan dua ciri pembayaran bersama yang merangkumi deduktibel dan insurans atau takaful bersama. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem kesihatan yang kondusif dan mampan melalui ketelusan dalam bil perubatan, serta meningkatkan kesedaran di kalangan pemegang polisi atau pengguna.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan