AM

KEBAKARAN TIGA KILANG DI ISKANDAR PUTERI: TIGA WARGA ASING CEDERA

10/10/2024 09:06 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Okt (Bernama) -- Tiga warga asing cedera dalam kebakaran membabitkan tiga kilang di Kawasan Perindustrian SILC di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 11.45 pagi.

Beliau berkata sebuah daripada kilang berkenaan dipercayai menyimpan bahan kimia termasuk cecair pencair (thinner).

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar 11.30 pagi dan ketiga-tiga warga asing itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal dan maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan kemudian.

Kumarasan turut menasihati orang awam agar tidak menghampiri kawasan kejadian sebagai langkah menjaga keselamatan, dan tinjauan Bernama mendapati laluan masuk ke kawasan kilang berkenaan telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri Penguasa Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata 39 anggota digerakkan ke lokasi kejadian membabitkan BBP Larkin, BBP Skudai, BBP Pekan Nenas, BBP Pontian Baru dan BBP Sebana Cove.

Terdahulu beberapa video insiden kebakaran itu tular di media sosial, yang memaparkan mangsa mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan