AM

WILAYAH PERSEKUTUAN TEROKA KERJASAMA DENGAN DUA SYARIKAT GERGASI TEKNOLOGI CHINA

11/10/2024 12:43 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa hari ini mengadakan perbincangan produktif bersama dua syarikat teknologi gergasi dari China, BAIDU dan Tencent di Shenzhen, bagi meneroka kerjasama strategik yang mampu memacu kemajuan Wilayah Persekutuan.

Menerusi hantaran di Facebook Dr Zaliha berkata dalam sesi bersama BAIDU, pihaknya berbincang tentang pembangunan bakat kecerdasan buatan (AI) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan syarikat itu.

“Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, ia akan membolehkan kita melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan, memperkasakan generasi muda dan meningkatkan daya saing negara dalam bidang teknologi.

“Selain itu kami turut membincangkan penggunaan teknologi AI untuk memperbaiki pengurusan lalu lintas dan pengangkutan awam, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup di bandar kita,” katanya.

Dr Zaliha berkata pada pertemuan sebelah petang pula, Tencent memperkenalkan konsep SuperApps iaitu aplikasi pintar yang berpotensi menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu platform yang akan memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam dengan lebih cekap dan cepat, mengurangkan birokrasi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata Tencent juga berkongsi program CSR mereka yang menyokong aktiviti Car-Free Days  dengan masyarakat boleh menukarkan langkah yang diambil semasa aktiviti ini kepada pembiayaan amal, selari dengan program Car Free Morning di Kuala Lumpur yang akan menyumbang kepada gaya hidup sihat serta bandar lebih hijau.

“Bagi memastikan impak yang lebih besar, saya akan meminta Jabatan Wilayah Persekutuan melalui ketiga-tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk meneliti konsep-konsep ini dan menyusun pelaksanaan yang sesuai.

“Dengan usaha ini, kita dapat mempercepatkan pencapaian visi Bandar CHASE yang menekankan kelestarian, kecekapan dan kesejahteraan untuk semua penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan