AM

QARI MALAYSIA ANTARA LAPAN PESERTA PADA HARI KEENAM MTHQA

11/10/2024 12:59 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Qari Malaysia Muhammad Husaini Mahmur antara lapan peserta yang memperdengarkan bacaan al-Quran pada hari keenam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa ke-64 (MTHQA) bagi kategori tilawah, malam ini.

Qari berasal dari Negeri Sembilan itu mengalunkan ayat-ayat suci daripada surah Fatir ayat lima hingga 12.

Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan tujuh lagi peserta turut memperdengarkan bacaan iaitu Belal Abdullah Ali Al Aghbari dari Yaman, Ahmad Daniyal Mohd Rizal (Singapura) dan Rawbi’ah Isaacs (Afrika Selatan).

Selain itu, Mazen Autallah Al Hadidi (Jordan), Hamid Rezanasiri Vahidfar (Iran), Kinza Vanthanouvong (Laos) dan Sayed Amir Hashimi (Afghanistan) turut memperdengarkan bacaan masing-masing.

Kategori tilawah sempena MTHQA berlangsung hingga esok.

Semalam adalah hari kemuncak MTHQA kategori hafazan dengan 39 peserta telah selesai memperdengarkan bacaan masing-masing sejak acara itu dirasmikan pada Sabtu lepas.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan World Quran Simposium 2024 yang diadakan bersempena dengan MTHQA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’, MTHQA ke-64 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas melibatkan 92 peserta dari 71 negara yang terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 hafazan.

Pengurniaan hadiah kepada johan tilawah dan johan hafazan al-Quran dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan