EKONOMI

JUALAN PERDAGANGAN BORONG, RUNCIT NAIK 4.7 PERATUS KEPADA RM149.2 BILION PADA OGOS - DOSM

11/10/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun dengan nilai jualan pada Ogos 2024 berjumlah RM149.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan  Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit, yang meningkat 5.9 peratus kepada RM64.1 bilion.

Subsektor kenderaan bermotor turut mencatatkan pertumbuhan ketara, meningkat 4.1 peratus kepada RM18.9 bilion manakala perdagangan borong berkembang 3.7 peratus kepada RM66.2 bilion.

“Dari segi perbandingan secara bulanan, sektor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus, mencerminkan permintaan pengguna yang berterusan dan keadaan pasaran yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata jualan runcit di kedai bukan pengkhususan mendahului kumpulan lain dalam subsektor ini, menyumbang RM24.8 bilion dengan kenaikan 7.8 peratus tahun ke tahun dan pertumbuhan 1.4 peratus bulan ke bulan.

Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau turut menunjukkan prestasi baik, mencatatkan jualan sebanyak RM4.1 bilion, dengan peningkatan 6.8 peratus tahun ke tahun dan 1.3 peratus bulan ke bulan.

Sementara itu, jualan runcit bahan api kenderaan mencatatkan peningkatan stabil, meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun dan 0.6 peratus bulan ke bulan untuk mencecah RM6.0 bilion, katanya.

Beliau berkata jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup menyumbang RM6.2 bilion, dengan peningkatan kukuh sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun walaupun terdapat sedikit penurunan bulanan sebanyak -0.3 peratus.

Menurut Mohd Uzir, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 6.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024 berbanding 5.7 peratus pada Julai 2024.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 4.7 peratus berbanding bulan sebelum, katanya.

Setelah menolak kesan perubahan harga, indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi Ogos 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.8 peratus.

“Pengembangan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus, diikuti oleh perdagangan borong (3.8 peratus) dan kenderaan bermotor (2.8 peratus).

“Namun, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun sebanyak -2.9 peratus bulan ke bulan,” kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan