EKONOMI

AMIRSHAM DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI BAHARU ALLIANCE BANK

11/10/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd telah melantik Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai pengerusi baharunya.

Timbalan Pengerusi Alliance Bank Ernest Wong Yuen Weng berkata pelantikan itu berkuat kuasa 10 Oktober, merupakan petanda baik untuk masa depan Alliance Bank.

"Kami mengharapkan beliau akan mengetuai lembaga pengarah dan pengurusan untuk meningkatkan tahap baharu bagi Alliance Bank. Melalui kepimpinan dan kepakaran beliau, kami yakin bank ini akan mencapai pertumbuhan dan kejayaan berterusan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bank itu berkata di bawah kendalian pengerusi baharu bersama-sama bimbingan lembaga pengarah dan pasukan kepimpinan kanan, Alliance Bank akan meneruskan laluan pertumbuhan Acceler8 2027 ke arah menjadi ‘Bank Sepanjang Hayat’ (The Bank For Life) untuk pemegang kepentingannya.

Amirsham, 74, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan dan berkhidmat di Kumpulan Maybank selama 31 tahun memegang pelbagai jawatan kanan termasuk presiden dan ketua pegawai eksekutif Maybank selama 14 tahun.

Selain itu, Amirsham pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan dari 18 Mac, 2008 hingga 9 April, 2009.

Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MTEN) dari 1 Jun 2009 hingga 31 Mei 2011.

Dalam pada itu, Amirsham pernah memegang pelbagai jawatan lain seperti pengerusi Bursa Malaysia Bhd dan ahli lembaga pengarah CapitaLand Ltd, Singapura; Petroliam Nasional Bhd dan RAM Holdings Bhd.

Ketika ini beliau adalah pengerusi Sunway REIT Management Sdn Bhd dan menganggotai lembaga pengarah Hap Seng Plantations Holdings Bhd.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan