DUNIA

PROGRAM CITARASA MALAYSIA DI JEPUN PERKENAL PRODUK, BUDAYA TEMPATAN

11/10/2024 08:47 PM

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

EDOGAWA (Tokyo), 11 Okt (Bernama) -- Program Citarasa Malaysia yang memasuki tahun kelapan penganjuran di Jepun bukan hanya memperkenalkan produk makanan tempatan tetapi turut mempromosikan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Dianjurkan bersama oleh AEON Co (M) Bhd, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan AEON Jepun, program berlangsung serentak di enam cawangan AEON di negara matahari terbit itu selama lima hari bermula 10 Okt.

Pengerusi AEON Co (M) Bhd Datuk Iskandar Sarudin berkata Program Citarasa Malaysia akan dirasmikan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar di AEON Mall Makahuri esok selain turut diadakan di AEON Mall Minamisuna, AEON Mall Style Shinonome, AEON Mall Style Himonya, AEON Mall Narita dan AEON Kasai. 

“Penganjuran kali ini bukan sekadar melibatkan barangan atau produk tetapi ia juga bertujuan menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang patut dilawati kerana kepelbagaian budaya, bangsa, agama dan makanannya,” katanya kepada Bernama. 

Beliau ditemui selepas sesi lawatan Mohd Sayuthi ke Program Citarasa Malaysia di AEON Kasai di sini hari ini. 

Iskandar berkata bagi memberi kelainan pada penganjuran kali ini, produk segar seperti nanas Rompin, durian, aiskrim durian serta bunga-bungaan dari Cameron Highlands dibawa khas ke Jepun.

Jualan makanan Malaysia seperti pes laksa, papadom, sardin, kari ayam dan mi kari Pulau Pinang selain pameran pakaian tradisional antaranya baju kebaya dan pakaian suku kaum di Borneo juga mewarnai Program Citarasa Malaysia di AEON Kasai. 

“Dari tahun ke tahun, jumlah produk Unit Penyimpanan Stok (SKU) barangan tempatan yang dibawa ke pameran ini bertambah dan pada tahun ini kita mempamerkan lebih kurang 132 SKU bernilai ratusan ribu ringgit.

"Hanya ketika COVID-19 melanda, dua tahun kita tidak dapat anjurkan program ini dan pada tahun ini kita adakan semula," katanya. 

Selain itu, beliau berkata lebih 90 peratus daripada produk yang dibawa dihasilkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan ia setanding dengan barangan lain yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Harapan saya agar lebih ramai PMKS meningkatkan kualiti dan mutu produk mereka terutama dari segi rasa, pembungkusan dan sebagainya kerana untuk menembusi pasaran Jepun bukanlah mudah,” katanya. 

Iskandar berkata strategi memperkenalkan Malaysia melalui platform seperti itu adalah pendekatan terbaik kerana ia dapat mendekati rakyat Jepun secara terus.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan