DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA DINIAGAKAN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN MENJELANG BELANJAWAN 2025

12/10/2024 10:16 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati dalam jajaran 1,630-1,650 minggu depan menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, kata seorang penganalisis.

Stephen Innes, rakan pengurusan di SPI Asset Management berkata perhatian akan tertumpu kepada Belanjawan 2025, yang dijangka diterima baik oleh pasaran.

"Diharapkan Belanjawan 2025 akan merangkumi insentif yang mencukupi untuk memastikan pelaburan langsung asing (FDI) mengalir kukuh ke Malaysia, yang seterusnya akan merangsang ekuiti tempatan," katanya.

Beliau juga percaya belanjawan yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan kepentingan antarabangsa boleh mendorong kenaikan harga di Bursa Malaysia, terutamanya jika sektor utama melihat peruntukan yang memberi manfaat.

Bagaimanapun, katanya, terdapat tiga risiko yang berpotensi menjejaskan keyakinan positif itu. 

"Pertama, jika data ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal lebih kukuh daripada jangkaan, pasaran mungkin mula mengambil kira penurunan kadar Rizab Persekutuan pada masa depan, yang boleh memberi kesan kepada sentimen," katanya.

Keduanya, kesan riak boleh dirasai di seluruh rantau jika langkah rangsangan China mengecewakan atau meleset daripada jangkaan.

"Akhir sekali, sekiranya Belanjawan 2025 Malaysia tidak seperti yang diharapkan atau membentangkan inisiatif yang tidak memberangsangkan, saham tempatan boleh terjejas,” katanya.  

Bursa tempatan diniagakan bercampur-campur pada minggu yang baru berakhir ini di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di bursa serantau dan indeks harga pengguna AS yang lebih tinggi daripada jangkaan pada September.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI meningkat 3.58 mata kepada 1,633.55 daripada 1,629.97 pada minggu sebelumnya.

Di seluruh papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas meningkat 76.26 mata kepada 12,282.75, Indeks FBM Emas Shariah naik 96.14 mata kepada 12,210.35, Indeks FBMT 100 menokok 78.28 mata kepada 11,978.85, Indeks FBM 70 melonjak 325.99 mata kepada 17,594.39 dan Indeks FBM ACE meningkat 39.25 mata kepada 5,148.77.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.03 mata kepada 176.07, Indeks Tenaga turun 10.58 mata kepada 882.10, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 12.40 mata kepada 19,178.28, manakala Indeks Perladangan meningkat 15.63 mata kepada 7,201.41.

Jumlah dagangan menyusut kepada 14.17 bilion unit bernilai RM12.87 bilion daripada 16.87 bilion unit bernilai RM13.54 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.01 bilion saham bernilai RM11.67 bilion daripada 8.30 bilion saham bernilai RM12.11 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 3.88 bilion unit bernilai RM529.21 juta daripada 6.46 bilion unit bernilai RM931.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.27 bilion saham bernilai RM656.80 juta daripada 2.10 bilion saham bernilai RM491.78 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan