AM

BELANJAWAN 2025: CAPAIAN INTERNET LEBIH BAIK, BEKALAN AIR BERSIH DI LUAR BANDAR SARAWAK

12/10/2024 11:22 AM

KUCHING, 12 Okt (Bernama) -- Capaian Internet yang lebih baik serta bekalan air bersih, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak antara yang perlu diberi perhatian kepada rakyat Bumi Kenyalang dalam Belanjawan 2025. 

Penjawat awam Nurhairuni Taha, 26, berkata peningkatan capaian Internet akan memperhebat lagi kualiti pendidikan pelajar di kawasan pedalaman memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran masa kini memerlukan akses Internet. 

“Capaian Internet terutamanya di bandar sudah capai tahap memuaskan namun perhatian lebih menyeluruh dan mendalam perlu diberikan oleh kerajaan kepada kawasan pedalaman.

“Menerusi capaian Internet yang baik ia mampu meningkatkan kualiti pembelajaran murid serta memudahkan guru untuk mengakses maklumat,” katanya yang berasal dari Mukah. 

Pada Sept lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kerajaan MADANI komited memastikan rakyat Malaysia menikmati Internet berkelajuan tinggi 5G.

Setakat ini, sebanyak 7,191 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara dengan 564 di Sabah dan 551 di Sarawak manakala tahap liputan kini 81.9 peratus di kawasan berpenduduk.

Dalam pada itu, pekerja swasta Mohd Zahid Ahmad Zaki, 26, berharap Belanjawan 2025 terus menyediakan peruntukan bagi menggerakkan projek bekalan air bersih di negeri ini. 

“Penambahan bajet oleh kerajaan Persekutuan pada belanjawan tahun hadapan daripada aspek pembangunan dilihat sangat baik untuk masyarakat kita kerana bekalan air bersih ialah perkara asas yang perlu dipenuhi. 

“Dari sudut bekalan air bersih dan elektrik pula ia dilihat ada peningkatan serta semakin baik setakat ini, jadi kita rakyat Sarawak sudah pasti  mahu yang lebih baik, khususnya bagi kawasan pedalaman dan terpencil,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan