AM

21 PEGAWAI SPRM KOHORT PERTAMA BERDAFTAR DI ELMU

12/10/2024 05:00 PM

SEREMBAN, 12 Okt (Bernama) -- Seramai 21 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama pelajar baharu Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), universiti penguatkuasaan undang-undang pertama di wilayah Asia.

Naib Canselor ELMU Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed berkata enam pelajar agensi penguatkuasaan itu mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda manakala 15  lagi  pengajian pada peringkat ijazah sarjana secara separuh masa.

"Mereka kumpulan perintis yang bertuah. Inilah saat paling membanggakan kami di ELMU apabila mereka sebagai pelajar kohort pertama memulakan perjalanan akademik yang akan merubah masa depan menjadi lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kassim berkata pelajar yang menerima Biasiswa Separa daripada ELMU Foundation dengan kerjasama Yayasan Prihatin SPRM akan mengangkat sumpah pada majlis taklimat dan orientasi universiti.

Bagi pelajar Master in Criminology and Criminal Justice Haliza Sahafiai, 41, berkata beliau memilih menyambung pelajaran di universiti itu kerana ia satu-satunya institusi pengajian tinggi menawarkan program pengajian khusus dalam bidang penguatkuasaan undang-undang yang relevan dengan tugasnya di SPRM.

“Sebagai penjawat awam bertugas dalam bidang penguatkuasaan undang-undang di SPRM sudah pasti ELMU menjadi pilihan terbaik untuk mendalami ilmu dalam bidang saya minati,” kata ibu kepada empat anak yang kini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan SPRM Sungai Petani, Kedah.

Ketua Penolong Kanan Penguasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya Mohd Suhaimi Mohamed Yusof, 42, mengikuti pengajian Bachelor in International Law Enforcement (Honours) berkata beliau menyambung pengajian bagi meningkatkan kemahiran diri dalam kerjaya, berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dalam memberikan pandangan serta membuat keputusan.

Penolong Pesuruhjaya SPRM yang berasal dari Sarawak Moses anak Lawrence, 49, pula berkata beliau ingin menguasai kemahiran dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dengan lebih mendalam.

Beliau berkata perkembangan semasa dan teknologi yang berkembang maju, ELMU dilihat mampu berfungsi sebagai paksi pembangunan sesebuah organisasi berteraskan penguatkuasaan undang-undang.

ELMU menerima kelulusan operasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Februari lepas menawarkan 11 program pengajian pada peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan