AM

IKIM PILIH KAMPUNG PINANG SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT SANTUNI MADANI

12/10/2024 05:31 PM

TAIPING, 12 Okt (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memilih Kampung Pinang, di Kamunting di sini sebagai kampung angkat dalam membantu meningkatkan keupayaan masyarakat dan potensi kampung berkenaan menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata institut itu mendukung hasrat kerajaan melalui program tersebut dengan memberi tumpuan kepada akses pendidikan, kesihatan, ekonomi, keselamatan serta isu sosial. 

"Di Kampung Pinang ini, fokus utama kita ada dua iaitu ekonomi dan pendidikan, ini antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi dialog yang kita anjurkan yang turut dihadiri pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pemimpin masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Santuni MADANI di Dewan Serbaguna Taman Kamunting Permai, Kampung Pinang di sini yang turut dihadiri barisan pengurusan dan kakitangan IKIM. 

Mohamed Azam berkata dalam aspek ekonomi keluarga asnaf contohnya, IKIM cuba membantu melalui kerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan pusat supaya keluarga tersebut mampu keluar daripada kepompong kemiskinan serta memastikan generasi keluarga itu tidak lagi tergolong dalam kelompok asnaf pada masa akan datang.

Sementara itu, pelbagai pengisian menarik turut diadakan semasa majlis berkenaan termasuk perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, forum bicara, cabutan bertuah dan jamuan rakyat khusus untuk penduduk kampung selain lawatan ke Pusat Pengajian Madrasah At-Tazkiyyah.

Mohamad Azam berkata pengisian program turut melibatkan sumbangan bantuan pek makanan kepada keluarga asnaf sumbangan daripada Yayasan Takwa Majlis Wilayah Persekutuan (MAIWP), Nestle dan penyumbang lain. 

"Forum Bicara Ad-Din hari ini juga telah dirakam menerusi TV IKIM dan akan disiarkan di radio IKIMfm untuk diikuti oleh 1 juta pendengar kami di seluruh negara," katanya. 

Beliau berkata program itu juga memberi ruang kepada setiap pemimpin untuk menyantuni, membimbing dan memimpin komuniti kampung kelahiran mereka dalam memastikan kelangsungan pembangunan setempat yang mampan dan inklusif. 

"Ini seiring dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap menteri, ketua jabatan dan pemimpin kerajaan pulang membantu kampung kelahiran masing-masing dan tidak jadi 'kacang lupakan kulit'. 

"Kita ingin pupuk rasa memiliki yang lebih mendalam dalam kalangan pemimpin terhadap asal usul mereka selain untuk pastikan potensi kampung itu termasuk masyarakatnya dapat dimaksimumkan melalui penglibatan pemimpin bersama rakyat," katanya yang turut berharap program sedemikian dapat dilaksanakan dalam skala lebih besar pada tahun depan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan