AM

RANG UNDANG-UNDANG MUFTI PASTIKAN PUNCA BIDANG KUASA LEBIH TERATUR - FAHMI

12/10/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) yang bakal dibentang pada sidang Parlimen akan datang tidak akan memperluas dan meningkatkan kuasa mufti.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata ia sebaliknya bagi memastikan punca bidang kuasa mufti lebih teratur serta jelas tanpa ada pertikaian berhubung tindakan yang dilakukan oleh mereka. 

Beliau berkata rang undang-undang itu juga bagi membolehkan jawatan mufti mempunyai lebih ketertiban dan keteraturan daripada segi Perlembagaan serta undang-undang negara. 

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bahawa hampir semua fasal dan perkara yang terkandung dalam rang undang-undang itu hampir sama seperti Enakmen Fatwa Negeri Sabah berhubung mufti di negeri itu yang diluluskan pada 2004. 

“Bermaksud Sabah sudah memiliki undang-undang serupa selama lebih 20 tahun. Sabah tak ada berubah daripada segi amalan ataupun kebebasan beragama, bagi yang bukan Islam kita lihat acara ataupun pesta dan keraian seperti Pesta Kaamatan masih dijalankan,” katanya selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU Cares di sini hari ini. 

Sebelum ini, Mohd Na'im Mokhtar berkata rang undang-undang itu akan dibentang untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang bermula pada 14 Okt depan.

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara lain memberi takrifan kepada Ahli Sunah Waljamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah. 

Semalam, 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah mendakwa rang undang-undang itu akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata. 

Mereka juga mendakwa rang undang-undang itu melanggar Perjanjian Malaysia 1963 dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

Justeru, Fahmi meminta pihak yang mengeluarkan kenyataan negatif berhubung rang undang-undang itu agar meneliti semula sejarah undang-undang tersebut di Sabah. 

“Jadi bagi mereka yang mengeluarkan tuduhan seperti ini, saya sarankan teliti balik sejarah (undang-undang ini di) Sabah yang sudah dibuat 20 tahun lalu, tiada sebarang kesan negatif. 

“Sehubungan itu, jangan pandang serong dan perlu celik undang-undang. Kita mahu agama Islam bagi yang muslim bukan hanya untuk dihormati tetapi (juga) mahu dari segi undang-undang (ia) teratur,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan