AM

SABAH CATAT 7,448 PENEMPATAN PEKERJAAN SETAKAT 27 SEPT - HAJIJI

12/10/2024 08:09 PM

KOTA KINABALU, 12 Okt (Bernama) -- Sabah berjaya mencatat sebanyak 7,448 penempatan pekerjaan untuk penduduk negeri itu setakat 27 Sept lepas menerusi pelbagai usaha kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pelbagai agensi terlibat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu penting untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat Sabah dan oleh itu, beliau mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan serta swasta menggembleng tenaga bagi mengurangkan pengangguran dalam kalangan penduduk negeri ini. 

“Saya mahu kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk menperluas peluang pekerjaan selain menyediakan lebih banyak latihan yang relevan kepada rakyat negeri ini.

“Ia juga bagi memastikan setiap individu mendapat peluang pekerjaan yang setara dan setimpal dengan kemahiran serta bakat mereka,” menurutnya dalam kenyataan selepas merasmikan Karnival Kerjaya Mega MADANI Myfuturejobs PERKESO Negeri Sabah 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi merealisasi hasrat itu, Sabah Jobs Portal di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Portal MYFuture yang diperkenal oleh PERKESO akan digabung bagi memastikan ia mampu menyediakan perkhidmatan pencarian pekerjaan lebih efisien kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Saya berharap sistem MYFuture dan Sabah Job Portal ini akan dapat direalisasikan secepat mungkin demi kebaikan rakyat Sabah.

"Integrasi ini akan memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat dan membantu majikan mencari bakat yang sesuai,” katanya sambil menambah kerajaan negeri berada di landasan tepat menerusi Rangka Tindakan Pembangunan Modal Insan Sabah (2021-2035).

Hajiji juga berkata ia bagi memastikan ilmu kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dengan keperluan industri semasa selain menambah baik kemudahan serta alat bantuan latihan di institut latihan di bawah agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya kini mula menunjukkan hasil yang positif dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat dan kesejahteraan rakyat bertambah baik.

“Sebagai usaha strategik ke depan, kerajaan negeri menyokong penuh penubuhan Pusat Rehabilitasi PERKESO bertaraf antarabangsa pertama di Borneo agar dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan