AM

YAYASAN TZA, YAYASAN RAJA MUDA SELANGOR KERJASAMA TANGANI KETIDAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN

12/10/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Yayasan TZA akan bekerjasama dengan Yayasan Raja Muda Selangor menerusi penganjuran program ACE-SPM bagi menangani ketidaksamaan peluang dalam pendidikan, terutama dalam kalangan pelajar Tingkatan Lima golongan B40.

Penasihat Yayasan TZA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerjasama berkenaan membolehkan inisiatif itu diperluas bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kejayaan yang kami raikan malam ini adalah bukti sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakan-rakan kongsi dan penderma budiman. Kerjasama anda semua amat penting dalam merealisasikan visi ini bersama kami,” katanya ketika berucap pada majlis Yayasan TZA Appreciation Gala Dinner di sini malam ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut memperkenalkan inisiatif baharu ‘Larian Kita’ sebagai usaha mempromosikan kesihatan fizikal dan memupuk tanggungjawab sosial menerusi siri larian di Selangor termasuk di kawasan Sabak Bernam, Kota Raja, Klang, Kota Damansara dan Kuala Langat.

Larian Kita bermatlamat menyokong badan amal tempatan yang memberi manfaat kepada anak yatim, warga emas dan golongan B40.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dijadual merasmikan acara larian di Sabak Bernam yang berlatarbelakangkan sawah.

Larian bertemakan "Lari Bersama Kain Pelikat atau Kain Batik" itu juga sebagai menghargai warisan budaya dan menggalakkan gaya hidup sihat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan