AM

BELANJAWAN 2025: ESSCOM HARAP TUMPU KEPADA PEMERKASAAN KESELAMATAN DI ESSZONE

13/10/2024 08:21 AM

LAHAD DATU, 13 Okt (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berharap agar Belanjawan 2025 memberi perhatian lebih tumpuan kepada usaha memperkukuhkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata langkah tersebut termasuk pembelian aset baharu serta pembinaan pos keselamatan di lokasi strategik, bertujuan untuk memperkuat pertahanan di ESSZone.

Menurut beliau usaha ini diharapkan dapat merealisasikan dua misi utama ESSCOM, iaitu mencegah pencerobohan kali kedua dan memastikan sifar kejadian penculikan untuk wang tebusan (KFR).

"Sudah empat tahun kita berjaya mengelakkan sebarang insiden, tetapi kita mahu terus memperkukuhkan pertahanan di kawasan yang terlibat," katanya kepada Bernama.

Victor berkata usaha pemerkasaan keselamatan ini akan memastikan kesejahteraan di ESSZone serta membantu merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kebajikan warga ESSCOM, khususnya anggota yang bertugas di lapangan juga perlu diberikan perhatian, seiring dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri untuk menjaga kebajikan anggota yang bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara.

ESSZone merangkumi 10 daerah, termasuk Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau, dengan keluasan keseluruhan 1,733.7 kilometer.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan