EKONOMI

MASA TERBAIK UNTUK MALAYSIA PERKENAL NIAGA HADAPAN MINYAK MASAK TERPAKAI

15/10/2024 11:17 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

 

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sekarang merupakan masa terbaik untuk Malaysia memperkenalkan niaga hadapan minyak masak terpakai (UCO) memandangkan penekanan yang semakin meningkat terhadap kemampanan dalam industri minyak sawit, menurut pakar industri.

Peniaga Proprietari Kanan IcebergX Sdn Bhd, David Ng memberitahu Bernama bahawa industri UCO Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) yang semakin popular.

Di Malaysia, dianggarkan 540,000 tan sisa minyak masak (WCO) daripada sayur-sayuran, terutamanya lemak sawit dan haiwan, dibuang setiap tahun tanpa dirawat.

WCO diiktiraf sebagai bahan mentah untuk proses biodiesel selain mempunyai potensi besar.

“Secara berperingkat, kami telah mula menyaksikan penggunaan meluas UCO sebagai sebahagian daripada keperluan pengadunan biobahan api.

“Mandat pengadunan biodiesel akan mempengaruhi pasaran UCO; harga serta bekalan bahan mentah, dalam kes ini, minyak sawit mentah (MSM), juga akan menentukan ketersediaan UCO di pasaran,” kata Ng.

Malaysia melaksanakan mandat B20 untuk sektor pengangkutan di wilayah tertentu, dengan harapan bahawa ia akan menyediakan keseluruhan rantaian bekalan untuk B30 dalam menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong industri minyak sawit tempatan.

Oleh itu, Ng percaya lonjakan permintaan biodiesel akan mewujudkan permintaan yang agak besar ke atas UCO, mendorong harga UCO menjadi lebih tinggi.

“Pendorong harga utama ialah harga minyak mentah dan bahan mentah seperti harga MSM.

“Persekitaran harga minyak yang tinggi akan memberi insentif kepada pengeluar untuk menggabungkan lebih banyak UCO dengan minyak mineral mentah. Dasar atau mandat kerajaan bagi program biobahan api juga akan menjadi satu lagi pemacu harga utama,” katanya ketika ditanya tentang faktor-faktor yang boleh mempengaruhi harga niaga hadapan UCO.

Malaysia, antara pengeluar utama MSM, berfungsi sebagai penanda aras bagi penetapan harga, boleh memainkan peranan penting dalam pasaran minyak sawit global.

Penetapan harganya mempengaruhi pasaran antarabangsa termasuk menetapkan piawaian untuk perdagangan produk minyak sawit.

Pada 2023, Malaysia mengeluarkan 18.55 juta tan MSM, menokok daripada 18.42 juta tan pada tahun sebelumnya.

Bursa Malaysia baru-baru ini mengesahkan rancangannya untuk memperkenalkan kontrak niaga hadapan baharu bagi minyak masak terpakai, ia masih menunggu respons daripada industri dan kelulusan kawal selia.

Langkah itu didorong oleh peningkatan permintaan bagi bahan mentah biobahan api.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan