AM

GANGGUAN PERKHIDMATAN LALUAN LRT KELANA JAYA: RAPID RAIL GERAKKAN USAHA BAIK PULIH SEGERA

15/10/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja baik pulih komponen landasan di antara Stesen Wangsa Maju dan Sri Rampai sedang dijalankan bagi menangani gangguan perkhidmatan di Laluan LRT Kelana Jaya, kata Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).

Pengendali perkhidmatan rel Rapid KL itu dalam kenyataan memaklumkan gangguan perkhidmatan berpunca daripada aliran air hujan luar biasa di kawasan sekitar yang telah memasuki landasan sehingga menyebabkan kerosakan beberapa komponen trek, pada pukul 10.20 pagi.

Rapid Rail berkata ia memaksa pihak operasi menghentikan bekalan kuasa di kawasan terlibat bagi membolehkan pemeriksaan serta kerja baik pulih dilakukan.

“Rapid Rail akan memaklumkan perkembangan status perkhidmatan pada pukul 3 petang. Kami harap kerja-kerja baik pulih ini dapat diselesaikan sebelum waktu puncak di sebelah petang,” menurut kenyataan itu.

Buat masa ini perkhidmatan tren perantara telah diaktifkan antara Stesen Gombak dan Stesen Wangsa Maju, manakala tren dari arah Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Wangsa Maju.

Rapid Rail turut menyediakan 12 bas perantara percuma dengan kekerapan setiap 15 minit bagi memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan, di samping menempatkan kakitangan operasi dan anggota Polis Bantuan di stesen-stesen terbabit bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

Pengumuman berterusan mengenai perkembangan status perkhidmatan akan disampaikan menerusi media sosial Rapid KL di semua stesen dan juga dalam tren.

“Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan masing-masing dan merujuk media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan status perkhidmatan Laluan LRT Kelana Jaya,” menurut kenyataan itu.

Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira pukul 9 pagi tadi. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan