AM

PULAU PINANG YAKIN PROJEK LRT LALUAN MUTIARA MULA SEBELUM AKHIR TAHUN INI

15/10/2024 04:48 PM

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang yakin Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan dapat dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini pihaknya difahamkan rundingan peringkat akhir sedang dibuat antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaku agensi pelaksana dengan pihak kontraktor SRS Konsortium bagi memuktamadkan isu-isu berkaitan teknikal dan nilai kontrak.

Beliau berkata rundingan itu melibatkan pembinaan komponen bagi segmen pertama projek iaitu dari Pulau Silikon ke Komtar di sini.

“Setelah rundingan itu dimuktamadkan peringkat seterusnya ialah pemeteraian perjanjian di antara dua pihak sebelum memulakan kerja kontrak.

“Kita tahu bahawa banyak pengumuman telah dibuat sebelum ini mengenai hasrat untuk memulakan kerja projek ini pada suku akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan majlis pecah tanah untuk projek LRT Laluan Mutiara akan diadakan pada Disember ini dengan stesen pertama dibina di Lebuh Macallum dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dikatakan telah meluluskan tarikh untuk memulakan projek sepanjang 29 kilometer itu.

Chow berkata bagi pihak kerajaan negeri, beliau juga berhasrat mahu melihat kerja di lapangan bagi projek itu akan dapat dimulakan seperti jangkaan.

Namun, katanya tarikh sebenar bagi upacara pecah tanah perlu diputuskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) atau MRT Corp memandangkan projek tersebut merupakan projek Persekutuan.

Pada 29 Mac lepas, Anthony Loke mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dengan MRT Corp dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.

Perolehan projek terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kerja-kerja untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral dan kontrak turnkey kerja-kerja sistem dan gerabak secara bina-selenggara-pindah (BMT).

Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan pada jajaran LRT Mutiara, yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan