AM

GISBH: KPWKM TUMPU SEGERA KEMBALIKAN KANAK-KANAK KE PANGKUAN KELUARGA

15/10/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Usaha mengembalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global kepada ibu bapa dan keluarga mereka dengan segera menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Bagaimanapun, menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM terlebih dahulu perlu memastikan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit dapat memberikan penjagaan yang baik dan sempurna.

“Bagi kes-kes yang jelas membuktikan keupayaan ibu bapa dan keluarga, proses penyatuan semula boleh disegerakan manakala bagi kes yang rumit, program-program intervensi akan dilaksanakan untuk kanak-kanak dan keluarga bagi memastikan kepentingan mereka terjaga.

“Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak ini adalah untuk kembali ke pangkuan keluarga. Namun sebelum ia boleh direalisasikan, pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbangkan...ini bukan untuk menidakkan hak mana-mana pihak, tetapi demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu,” katanya  pada sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Dewan Rakyat hari ini.

Setakat semalam, 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Nancy berkata pengumpulan maklumat profil awal terhadap 558 kanak-kanak berkenaan oleh Pasukan Petugas Pemfailan Kanak-Kanak Op Global mendapati 94.3 peratus kanak-kanak mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung, manakala 5.7 peratus lagi tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai ibu bapa mereka.

Beliau berkata penilaian fizikal dan kesihatan pula mendapati 51.6 peratus kanak-kanak itu mencatatkan berat badan di bawah paras Indeks Jisim Badan (BMI) sihat, 46.1 peratus mencatatkan berat badan normal dan selebihnya dalam kategori obesiti. 

“Tiga daripada mereka mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) manakala 27 lagi kanak-kanak mempunyai simptom OKU,” katanya. 

Nancy berkata penilaian kognitif awal kanak-kanak telah dilakukan ke atas 385 kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas dengan 71.9 peratus (277 orang) daripada mereka tidak menunjukkan kecelaruan kognitif.

“Namun, 20.26 peratus (78 orang) menunjukkan mengalami masalah kecelaruan kognitif yang sederhana manakala 7.79 peratus (30 orang) lagi mengalami kecelaruan kognitif yang teruk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan