AM

MALAYSIA PERLU REBUT PELUANG DALAM PASARAN PERANTI PERUBATAN GLOBAL - CHANG

15/10/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Inovator dan pengeluar di Malaysia perlu merebut peluang daripada potensi besar industri peranti perubatan global, yang dijangka mencapai hampir US$800 bilion menjelang 2030, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata negara mempunyai banyak produk dan inovator yang baik dalam sektor peranti perubatan, dan kerajaan sentiasa menggalakkan serta menyokong pemain industri dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan.

“Pasaran memang besar, kita ada banyak ruang untuk berjaya dan membantu R&D. Sudah tentu tidak terhad kepada industri peranti perubatan sahaja.

“Secara am MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) ada sediakan kemudahan dana, geran, geran padanan dan ekuiti yang kita labur dalam syarikat pemula berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM sebagai acara utama dalam Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Dr P Muralitharan, Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan (PERANTIM) Johari Abu Kasim dan Pengerusi Penganjur INNOMed Dr Hyzan Mohd Yusof. 

Terdahulu dalam ucapan, Chang berkata melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023, kerajaan memupuk sinergi antara pengeluar dan sektor kejuruteraan serta sektor peranti perubatan termasuk penciptaan alat dan penyelesaian pemeriksaan canggih untuk pengimejan dan endoskopi, peranti boleh ditanam, dan alat bedah yang invasif minimum.

Sementara itu, Muralitharan berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sejak Januari hingga Julai tahun ini, Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan peranti perubatan bernilai RM25.61 bilion, iaitu peningkatan 23.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 dengan RM20.74 bilion.

Beliau berkata eksport peranti perubatan pula bernilai RM20.15 bilion, peningkatan sebanyak 25.7 peratus berbanding RM16.02 bilion pada 2023.

Dr Hyzan dalam ucapannya berkata inovasi peranti perubatan adalah peluang untuk meningkatkan penjagaan kesihatan dan mengukuhkan ekonomi, dan industri berkenaan dijangka mencapai hampir US$2 bilion menjelang 2025, menjadikannya satu daripada sektor paling pesat berkembang.

“Dengan menumpukan kepada inovasi, kita dapat menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju global. Tahun lepas, kita membelanjakan US$5 bilion untuk peranti perubatan. Kita mengimport hampir 95 peratus. Dalam tempoh lima tahun, kita menyasarkan untuk mengurangkannya kepada 50 peratus,”  katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama dalam kalangan universiti, inovator, pengeluar, klinisian dan agensi kerajaan bagi memastikan idea dan penyelidikan beralih dengan lancar daripada makmal kepada aplikasi klinikal dan penyedia penjagaan kesihatan.

INNOMed bertemakan Unleashing the Power of Medical Technology: Shaping the Future of Healthcare dianjurkan oleh MDA, berlangsung pada 10 hingga 12 Dis ini, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan