AM

JKPTG KENAL PASTI TANAH PERSEKUTUAN YANG TERBIAR UNTUK DIOPTIMUMKAN

15/10/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sedang mengenal pasti tanah-tanah Persekutuan yang kosong atau terbiar untuk dioptimumkan bagi tujuan sewaan atau pajakan selaras dengan Hala Tuju Pengurusan Tanah Persekutuan 2021-2030.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata melalui hala tuju itu, tempoh pegangan tanah Persekutuan yang belum atau tidak dibangunkan oleh kementerian atau jabatan pengguna ditetapkan lima tahun sahaja dengan tambahan dua tahun berdasarkan budi bicara dan justifikasi kukuh yang perlu dikemukakan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Bagi kita, tempoh ini adalah munasabah bagi kementerian atau jabatan pengguna merancang pembangunan di atas lot tanah yang berada di dalam kawalan masing-masing.

“Selepas tempoh itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berhak untuk menguruskan tanah tersebut setelah terlebih dahulu berunding dengan kementerian atau jabatan terlibat sama ada untuk tukar guna, suai padan, sewaan atau pajakan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata bagi tanah melibatkan projek pembangunan yang dilaksanakan secara berfasa dan memerlukan tempoh lebih lama untuk disiapkan, pengesahan bajet boleh diberikan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk pertimbangan.

Nik Nazmi berkata dengan langkah yang diambil, tanah Persekutuan dapat digunakan secara optimum di samping menjana pendapatan kepada kerajaan dan mengelakkan ia diceroboh pihak tidak bertanggungawab.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pula berkata setakat semalam, jumlah projek pembangunan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang masih dalam kategori sakit berkurangan kepada 15 berbanding 72 setakat 31 Dis 2023 seperti dilaporkan LKAN.

“KPM telah meneliti status terkini berdasarkan kepada langkah intervensi yang telah diambil. Sehingga semalam, jumlah projek sakit daripada 72 yang tinggal sekarang 15 projek, lewat tiga projek dan tender semula tujuh projek,” katanya.

Beliau berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada projek sakit ialah kelemahan pengurusan dan perancangan oleh pihak kontraktor, kelemahan perunding dilantik, isu kesediaan tanah, peningkatan kos, keperluan penyelarasan utiliti, syarat tambahan baharu dan kesukaran untuk jentera memasuki tapak bagi sesetengah kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata segala projek Kementerian Kesihatan (KKM) yang tertunda mahupun dikategorikan sakit yang terkait dalam laporan LKAN sentiasa dipantau pihaknya.

"KKM juga sentiasa membincangkan status serta isu pelaksanaan projek-projek ini melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian yang diadakan setiap bulan dan Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian pada setiap suku tahun yang dipengerusikan Menteri Kesihatan," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan