EKONOMI

BELANJAWAN 2025 DIHARAP TANGANI KEKURANGAN TENAGA KERJA SEKTOR AUTOMOTIF, EV

16/10/2024 10:02 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap menerima peruntukan pembiayaan latihan kemahiran kenderaan elektrik (EV) untuk menarik minat dan menangani kekurangan tenaga kerja semasa dalam sektor automotif, khususnya dalam teknologi EV, menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Pengarah Automotive Development Centre (ADC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru Dr Mohd Azman Abas berkata walaupun program latihan EV telah diperkenalkan namun ia perlu diperkukuh untuk meningkatkan tahap kemahiran pelatih berikutan pembangunan teknologi EV yang pesat.

Beliau berkata pembiayaan tambahan penting untuk menambah baik program latihan bagi memastikan pelatih membangunkan kemahiran teknikal yang diperlukan dalam memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

“Selain itu, terdapat kekurangan peralatan dan kemudahan yang sesuai untuk menyokong latihan EV secara komprehensif.

“Memperuntukkan lebih banyak sumber untuk menaik taraf alat dan kemudahan ini adalah penting untuk menyediakan pengalaman praktikal dan kemahiran praktikal kepada pelatih untuk cemerlang dalam bidang tersebut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Azman berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan infrastruktur terutamanya stesen pengecas EV kerana keperluan untuk pekerja mahir yang mampu memasang, menyelenggara dan mengurus infrastruktur pengecasan EV turut meningkat apabila penggunaan kenderaan elektrik semakin tinggi.

Menurut beliau latihan dalam bidang itu akan menjadi penting bagi mewujudkan tenaga kerja yang lengkap dan boleh menyokong ekosistem EV yang lebih luas.

“Ia juga penting untuk mengukuhkan aspek keselamatan dalam program latihan memandangkan EV beroperasi pada sistem voltan tinggi.

“Sokongan kerajaan dalam meningkatkan langkah keselamatan dalam latihan akan membantu mewujudkan tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga mematuhi piawaian keselamatan tertinggi,” katanya.

Hal itu katanya akan memastikan industri dapat memenuhi permintaan sektor EV yang semakin berkembang di Malaysia.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula berpendapat Belanjawan 2025 perlu memfokuskan peruntukan untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pengangkutan di negara ini.

Beliau berkata AI, yang dapat mengoptimumkan kekerapan selang pengangkutan awam dan berpotensi untuk mengalihkan trafik dengan lebih baik bagi mencegah kereta dan penunggang motosikal daripada memasuki laluan sesak, belum dimanfaatkan sepenuhnya ketika ini.  

"Dengan penggunaan AI secara optimum, berserta Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang sedang berlaku, kita boleh menyelaraskan semula kekerapan pengangkutan awam atau lampu isyarat, selain pengalihan atau pengurusan trafik supaya pemandu tidak sentiasa terperangkap di kawasan sesak.

"Selain itu, mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mempertimbangkan caj kesesakan. Penduduk Lembah Klang memerlukan langkah-langkah pengekangan untuk memastikan ruang jalan di bandar dioptimumkan dengan cara yang betul," katanya sambil menambah bahawa sistem pengangkutan awam yang baik berupaya menghalang individu daripada memilih untuk memandu.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memberikan penekanan kepada Pelan Mobiliti Karbon Rendah (LCMB) 2021-2030 yang diperkenalkan sebelum ini sebagai pendekatan yang menyeluruh, bukan hanya memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV) untuk mengurangkan keseluruhan impak karbon pengangkutan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan