AM

INTEGRASI SISTEM EBANTUANJKM DAN ISPEKS MUDAHKAN BAYARAN BANTUAN

16/10/2024 01:27 PM

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Kolaborasi strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi integrasi dua sistem iaitu eBantuanJKM dan iSPEKS (Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri) memudahkan proses pembayaran bantuan kebajikan di 11 negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sistem itu dilaksanakan secara antara muka kedua-dua sistem, tanpa melibatkan intervensi manual, menjadikan proses penyaluran bantuan yang lebih telus, cekap dan berkesan. 

"Reformasi dalam penyaluran bantuan am negeri ini berjaya memperkemas sistem pembayaran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sebelum ini mengguna pakai kaedah baucar manual. Ia juga dapat mengurangkan risiko penyelewengan dan memudahkan proses pemantauan yang sistematik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kolaborasi Strategik bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri, di sini hari ini.

Nancy berkata berdasarkan rekod JKM, sehingga Ogos lepas, terdapat 543,008 penerima bantuan JKM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 90,559 orang atau 16.7 peratus merupakan penerima bantuan am negeri dan 59,838 orang atau 11 peratus dibayar menerusi iSPEKS.

Beliau berkata eBantuanJKM ialah sistem dalam talian dengan pangkalan data penerima bantuan yang diwujudkan bagi memudahkan proses pengurusan bantuan, pemantauan serta pengumpulan statistik di peringkat JKM manakala iSPEKS dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Beliau berkata penambahbaikan sistem itu selari dengan hala tuju kerajaan agar penyampaian perkhidmatan sektor awam diberi satu anjakan islah atau penambahbaikan berterusan.

Selain itu, katanya integrasi sistem itu merupakan langkah reformasi perkhidmatan awam bagi memastikan kaedah penyaluran bantuan yang telus, pantas dan berintegriti kepada kumpulan sasar. 

Beliau berkata inisiatif itu akan turut diperluas ke Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan