AM

TANAH RUNTUH: KKR CADANG PEMBAIKAN KAEDAH PEMAKUAN TANAH

16/10/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan cerun di Taman Melawati yang runtuh dalam kejadian pagi semalam, diperbaiki dengan menggunakan kaedah pemakuan tanah, kata Timbalan Menterinya Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata cadangan itu akan dibentangkan dalam libat urus membabitkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pemaju swasta, yang akan diadakan dalam masa terdekat berkaitan kerja pembaikan dilakukan oleh pemaju terlibat. 

“Memandangkan kawasan kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan milik pemaju, dicadangkan pihak MPAJ mengadakan libat urus bersama pemaju untuk kaedah rawatan kekal, bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan penggunaan jalan pada masa hadapan.

“Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Runtuh di bawah Pelan Induk Cerun Negara, akan kemukakan laporan khidmat nasihat pakar teknikal serta cadangan pembaikan kepada pihak MPAJ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan ke kawasan tanah runtuh berkenaan, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Datuk Zamri Ramli.

Mengulas mengenai jangka masa diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan dilakukan, beliau menjelaskan ia bergantung kepada mesyuarat libat urus yang diharap dapat diadakan seawal pagi Jumaat ini, kerana semua laporan teknikal akan siap pada petang esok.

Ahmad menjelaskan buat masa ini tindakan mitigasi jangka pendek yang akan dilakukan ialah membersihkan sisa runtuhan, termasuk longkang di atas dan di bawah cerun, kerja-kerja mencantas pokok di kawasan cerun, pengalihan sementara laluan air dan menutup runtuhan cerun dengan kanvas.

“Runtuhan berlaku sepanjang 30 meter dari kaki cerun dengan keluasan permukaan runtuhan seluas 500 meter persegi dan kegagalan pada struktur dinding sistem perparitan telah menyebabkan aliran air melimpah ke permukaan cerun. 

“Aliran air yang banyak akibat hujan lebat telah melemahkan struktur tanah dan menumbangkan pokok pokok pada cerun. Pihak MPAJ telah menjalankan kerja-kerja pembersihan ke atas parit tersebut dan akan melaksanakan lencongan air ke parit bersebelahan jalan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Zamri mengesahkan menerusi pemeriksaan selama kira-kira dua jam yang dilakukan pihaknya mendapati, tiada pergerakan baharu yang dikesan pada hari ini dan kawasan kejadian tidak melibatkan batu jenis batu kapur.

“Kawasan yang terlibat dalam kejadian ini melibatkan batu jenis Schise iaitu sejenis batu metamorfik dan bukan batu kapur,” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat di Jalan E6 dan Jalan G2, Taman Melawati pada kira-kira pukul 10.15 pagi semalam, memaksa penghuni 20 rumah mengosongkan kediaman mereka termasuk empat rumah yang terkesan.

Sementara itu, Ahmad berkata KKR juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BIGBEN) bagi memantau 3,200 daripada 27,000 cerun di seluruh negara, yang dikenal pasti berisiko ketika musim tengkujuh.

“Bagi BIGBEN di daerah, ia akan diketuai oleh jurutera daerah yang akan memaklumkan mengenai keadaan semasa cerun di kawasan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan