EKONOMI

INVEST SELANGOR SASAR 10 SYARIKAT SERTAI PROGRAM PERKONGSIAN MAKMALNYA MENJELANG AKHIR 2024

16/10/2024 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Invest Selangor Bhd menyasarkan sebanyak 10 syarikat berasaskan sains hayat menyertai Program Perkongsian Makmal Selangor menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Hasan Azhari Idris berkata program itu direka untuk merapatkan jurang antara industri dan akademik, memupuk kerjasama yang boleh mengubah idea inovatif kepada penyelesaian praktikal.

"Dengan menghubungkan pemain-pemain industri dan institusi pengajian tinggi serta institut penyelidikan, kami menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem kukuh yang menggalakkan perkongsian pengetahuan dan mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya selepas melancarkan Program Perkongsian Makmal Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata program itu membolehkan syarikat yang mengambil bahagian mendapat akses kepada kemudahan penyelidikan, peluang untuk melibatkan diri dengan pakar-pakar akademik terkemuka dan perkhidmatan sokongan yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan perniagaan dan R&D mereka.

"Terdapat sokongan kewangan sehingga RM5,000 bagi setiap projek untuk 2024 yang bertujuan mengimbangi kos penyelidikan dan aktiviti berkaitan yang dijalankan semasa program perkongsian dengan universiti," katanya.

Sementara itu, Hasan Azhari berkata Invest Selangor turut bekerjasama dengan sembilan institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang terdiri daripada lima universiti awam dan empat universiti swasta.

Universiti yang terlibat ialah Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Universiti Taylor, Universiti Sunway, Universiti Monash Malaysia dan Universiti Xiamen Malaysia.

"Komitmen mereka terhadap inovasi adalah sejajar dengan cita-cita kolektif kami untuk memacu pertumbuhan berterusan industri sains hayat Selangor," tambahnya.

 Selain itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pelancaran Program Perkongsian Makmal Selangor sejajar dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 yang mengutamakan perkongsian awam-swasta, pembangunan bakat dan penyelidikan termaju.

"Dengan menerapkan elemen-elemen ini dalam komitmen negeri kepada kemampanan melalui rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami bersedia untuk mewujudkan ekosistem inovatif yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi memastikan kemakmuran dan pembangunan yang mampan untuk Selangor," tambah beliau. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan