AM

POLIS SARAWAK ADAKAN ISTIADAT PENGANUGERAHAN PJPN TERAKHIR

16/10/2024 06:48 PM

SIBU, 16 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mengadakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang terakhir dengan seramai 203 pesara atau bekas polis menerima pingat itu di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima bekas pegawai pemerintah Pasukan Gerakan Am Batalion ke-12 Miri ACP (B) Fauzi Saadi Diol, 73.

Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mancha Ata dalam satu siaran media di sini berkata 121 pesara atau bekas polis menerima sendiri pingat tersebut manakala 82 orang diwakili oleh waris masing-masing. 

“PJPN Siri 5/2024 ini merupakan majlis penganugerahan terakhir yang akan dijalankan secara istiadat.

“Sejak 2014 PDRM Kontinjen Sarawak telah mengadakan istiadat penganugerahan PJPN ini dengan 17 siri secara istiadat dan lima kali tanpa istiadat melibatkan keseluruhan jumlah penerima 2,517 orang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 1,218 pesara atau bekas polis Kontinjen Sarawak yang layak masih belum dianugerahkan PJPN.

“Ada dalam kalangan mereka menolak untuk hadir istiadat penganugerahan disebabkan kekangan kesihatan dan lain-lain. Baki yang layak menerima ini akan disampaikan secara tanpa istiadat,” katanya.

PDRM Kontinjen Sarawak akan memperturunkan kuasa kepada Ketua Polis Daerah untuk menyampaikan pingat tanpa istiadat di Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing atau disampaikan di rumah pesara yang berkenaan.  

PJPN dianugerahkan kepada petugas PDRM bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960.

Pingat ini turut diberikan kepada petugas polis dalam era insurgensi komunis antara 17 Jun 1968 dan 2 Dis 1989 di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak antara 1962 hingga 17 Okt 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan