EKONOMI

STRATEGI PENGKOMERSIALAN GLOBAL MAMPU PACU SYARIKAT PEMULA MALAYSIA - MDEC

16/10/2024 09:14 PM

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

DUBAI, 16 Okt (Bernama) -- Tumpuan Malaysia terhadap strategi pengkomersialan global mampu menyuntik impak ekonomi meluas bagi syarikat pemula niaga dan firma teknologi tempatan yang berhasrat meluaskan perniagaan, terutamanya ketika negara berusaha menjadi gerbang digital untuk ASEAN.

Ketua Pemacu Industri Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Ir Wan Murdani Wan Mohamad berkata ini juga bertepatan dengan langkah Malaysia melaksanakan pendekatan bagi membantu syarikat tempatan berkembang melangkaui pasaran ASEAN dengan memberi sokongan serta pendedahan terhadap peluang di peringkat global.

“Peluang pasaran adalah luas. Langkah pengembangan di peringkat serantau dan global akan membolehkan syarikat dan pemula niaga teknologi tempatan dan firma yang mahu meluaskan perniagaan mereka, berupaya menembusi pasaran yang memerlukan penyelesaian berkualiti.

“Menerusi pelbagai usaha intervensi dan program, kita berhasrat untuk menghubungkan syarikat-syarikat ini dengan pelanggan berpotensi dan membantu mereka berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi ahli panel dalam sesi bertemakan ‘Pengkomersialan Global Bagi Impak Ekonomi Ketara’ di sini, pada Selasa.

Sesi itu adalah sebahagian daripada agenda Forum Kepimpinan Ekosistem Genom Permulaan yang dihoskan bersama oleh Startup Genome, Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global dan acara Expand North Star 2024 di sini.

Menjelaskan selanjutnya, Wan Murdani berkata strategi itu juga dirangka untuk menjadi profil syarikat Malaysia dan membolehkan mereka menembusi pasaran global, sekali gus memastikan pertumbuhan dan daya saing bagi jangka panjang.

Terdahulu pada sesi itu, beliau berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, berada dalam kedudukan baik untuk mengetengahkan kemampuan syarikat teknologi digital tempatan.

“Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi ASEAN (DEFA) yang sedang dirangka, akan menggalakkan lagi perdagangan digital rentas sempadan serta keterangkuman di serata Asia Tenggara.

“Matlamat kita adalah untuk melihat ASEAN sebagai satu pasaran tunggal dengan kesalinghubungan digital dan memanfaatkan 650 juta penduduknya serta ekonominya yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata ekonomi digital misalnya telah menyumbang sebanyak 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia serta seiring sasaran mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju digital serantau di ASEAN dengan saiz ekonomi digitalnya dijangka mencecah US$1 trilion (US$1=RM4.31) menjelang 2030.

Wan Murdani berkata MDEC juga akan terus menumpukan tiga bidang utama - menarik pelaburan digital bernilai tinggi, meningkatkan ekosistem tempatan untuk syarikat pemula dan firma teknologi serta memacu penerimagunaan digital dalam sektor ekonomi utama.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan