AM

LEBIH 60 PETUGAS SERTAI FUN RUN BERNAMA RADIO & MITI, PROMOSI GAYA HIDUP SIHAT

17/10/2024 07:55 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 60 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyertai program ‘Fun Run Bernama Radio & MITI’, hari ini.

Semua peserta dilepaskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin di Wisma Bernama pada 7.30 pagi.

Ketua Projek Fun Run Bernama Radio & MITI Hashmarr Hashim berkata program 'Fun Run' melibatkan larian sejauh 2.5 kilometer bermula dari Wisma Bernama melewati Sungai Bunus hingga ke Tasik Titiwangsa. 

Beliau berkata program julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara yang disambut pada Oktober setiap tahun, selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai.

“Selari dengan usaha kerajaan, kami di Bernama Radio mengadakan program aktiviti larian yang dinamakan Fun Run Bernama Radio & MITI untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan petugas Bernama dan MITI,” katanya kepada Bernama di sini.

Selain larian, Hashmarr berkata peserta juga berpeluang menyertai kayuhan kayak dan acara tarik tali, yang diadakan pada program itu.

Turut hadir pada program itu Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, dan Ketua Penyiaran Bahagian Penyiaran TV dan Radio Mohd Shukri Ishak.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan