AM

HASIL SIASATAN KEMATIAN PAKAR PERUBATAN PATOLOGI AKAN DIDEDAHKAN - DR DZULKEFLY

17/10/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) bakal mendedahkan hasil siasatan jawatankuasa bebas yang menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi Hospital di Lahad Datu, yang didakwa dibuli di tempat kerja kepada umum, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata beliau sesekali tidak akan berkompromi dalam hal itu dan akan mendedahkan hasil siasatan atas prinsip kebertanggungjawaban serta ketelusan.

“Mustahak perkara ini dilakukan sedemikian, supaya semua pihak dapat mengambil iktibar penuh, sama ada pelaku, pembuat polisi, pelaksana dan kita juga pembuat dasar.

“Kita kena tahu apa yang sebenarnya perkara itu secara granular, terperinci supaya kita mengambil iktibar dan dijadikan satu polisi dan seterusnya jika kita mahu buat polisi, berdasarkan bukti dan maklumat yang tepat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang bertanya, sama ada KKM merancang untuk mengemukakan hasil siasatan jawatankuasa itu kepada orang ramai.

Dzulkefly berkata jawatankuasa bebas itu diberikan masa tiga bulan bagi menyiasat kes berkenaan bermula 10 Okt dan tambahan tiga bulan juga diberikan kepada jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan-dakwaan kes buli di fasiliti kesihatan KKM seluruh negara.

Jawatankuasa bebas itu dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dan disertai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, Pakar Patologi dan Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng.

Turut menganggotainya Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Chan Lai Fong, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan yang juga bekas Penasihat Undang-Undang KKM Datuk Mohamad Fazin Mahmud.

Sebelum ini media melapokan seorang doktor pakar di sebuah hospital di Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Dzulkefly berkata KKM juga sedang menyiasat satu lagi kes kematian melibatkan seorang doktor di sebuah hospital di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jun yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan perbuatan buli serta beban kerja melampau.

“Saya memerhatikan apa pun dapatan, fakta dan maklumat tepat, apa pun data dan informasinya, saya pun juga tidak akan ambil mudah, jump into conclusion dan membuat tuduhan itu terutama ketika kita memerhatikan persoalan ketidakcukupan tenaga (kerja) di Hospital Seberang Jaya itu.

“… saya pasti kita juga akan mengambil siasatan awal kes baharu ini dan mungkin menyusuli dengan siasatan jawatankuasa bebas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor wanita ditemukan mati di dalam keretanya di kawasan parkir kereta hospital berkenaan, pada Jun lepas.

Pada masa yang sama beliau memberikan jaminan KKM tidak akan berkompromi dalam hal menangani kes buli dan mahu mewujudkan budaya serta suasana kerja berpasukan yang adil dan budaya hormat-menghormati di fasiliti kesihatan KKM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan