AM

BEKALAN MAKANAN DI PULAU PINANG CUKUP SEPANJANG MONSUN TIMUR LAUT

17/10/2024 03:20 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang memberikan jaminan bekalan makanan daripada sumber perikanan, pertanian dan penternakan mencukupi untuk rakyat negeri itu sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata setakat ini sumber makanan tidak terjejas dan kesemua agensi serta jabatan terlibat dalam keadaan bersiap sedia untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh monsun.

''Berdasarkan maklumat dan statistik saya dapat daripada jabatan-jabatan yang berkaitan di Pulau Pinang, sebanyak 90 peratus penternak tidak berada di kawasan yang berlaku banjir,'' katanya pada sidang media mengenai Geran Mutiara MADANI Koperasi Negeri Pulau Pinang dan program Jelajah Tani 2024 yang bakal diadakan di Pulau Pinang di sini hari ini.

Fahmi berkata setakat ini tanaman padi di kawasan negeri telah dituai dan tidak terjejas dengan banjir manakala bekalan ikan juga mencukupi memandangkan Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah mengeluarkan nasihat kepada para nelayan dan penternak sangkar agar mengambil langkah awal serta berhati-hati sepanjang musim monsun. 

Terdahulu, pada sidang media berkenaan, Fahmi berkata sejumlah RM200,000 Geran Mutiara MADANI disalurkan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang bagi membantu gerakan koperasi di negeri itu.

"Pejabat saya dengan kerjasama SKM Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan tiga siri seminar ‘Young Coop Business Camp’ pada 27 dan 28 Okt serta 23 Nov nanti bagi membantu gerakan koperasi pada peringkat sekolah serta memberikan fokus kepada golongan belia, khususnya pelajar sekolah,” katanya.

Pihaknya juga menganjurkan Program Jelajah Tani 2024 sebagai platform untuk kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan bertemu dengan penternak, petani dan nelayan bagi memantau perkembangan serta memberikan pandangan mengenai projek-projek agro sepanjang tahun.

Program Jelajah Tani 2024 akan dianjurkan di Teluk Air Tawar di Daerah Seberang Perai Utara pada 27 Okt, Pulau Betong Daerah Barat Daya (10 Nov) dan Permatang Pauh di Daerah Seberang Perai Tengah (30 Nov).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan