AM

MALAYSIA PERLU PERKASA PENSIJILAN HALAL PERANTI PERUBATAN SUPAYA DIIKTIRAF PERINGKAT GLOBAL

17/10/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pensijilan Malaysia Standard Peranti Perubatan Halal perlu diperkasakan supaya pensijilan berkenaan diterima pakai dan diiktiraf di peringkat global, demikian cadangan Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) Johari Abu Kasim.

Beliau berkata Malaysia selaku negara terawal di dunia memperkenalkan pensijilan berkenaan, boleh menjadikan skim pensijilan halal sebagai satu alat perundingan timbal balik bagi negara-negara yang menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia.

“Ketika ini, produk peranti perubatan dari Malaysia sukar menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, yang merupakan dua pasaran terbesar kerana berdepan dengan cabaran pendaftaran bagi memenuhi standard piawaian luar negara yang kompleks serta kos pengauditan tinggi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Johari berkata sebaliknya, syarikat peranti perubatan dari Eropah dan Amerika Syarikat yang berdaftar, boleh memperoleh sijil daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam tempoh 14 hari, untuk memasarkan produk mereka di negara ini.

Beliau berkata syarikat Malaysia perlu mendapatkan sijil Pematuhan Eropah (CE) Medical Devices Regulation (MDR) serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) yang menelan kos sehingga melebihi setengah juta Ringgit atau kira-kira US$150,000 bagi satu-satu produk peranti perubatan, malah perlu menunggu masa yang lama untuk proses audit sehingga dua tahun.

“Kalau seperti ini di mana timbal balik? Amat baik sekiranya negara-negara Eropah menerima sijil pendaftaran Malaysia MDA dan juga Halal Medical Device kita sebagai satu daripada syarat untuk produk mereka masuk ke Malaysia, sebagaimana mereka minta kita patuhi CE MDR untuk menembusi pasaran di sana,” katanya kepada Bernama.

Pada 2019, Jabatan Standard Malaysia (JSM) membangunkan satu standard pensijilan halal dalam peranti perubatan, dilabel dengan kod MS 2636:2019, bertujuan memastikan peranti perubatan yang dihasilkan oleh pengeluar mematuhi ketetapan syariah daripada segenap aspek.

Contoh peranti perubatan yang melepasi pensijilan halal di negara ini adalah flos gigi, ubat titis mata, selain peralatan dan keperluan dalam prosedur dialisis, jahitan pembedahan serta rawatan luka.

Johari berkata produk halal mempunyai pasaran yang besar di peringkat global dan Malaysia seharusnya mengambil manfaat daripada pasaran industri peranti perubatan global, yang dijangka mencapai hampir US$800 bilion menjelang 2030.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk mempromosikan lagi persijilan halal berkenaan di rantau Asia Tenggara.

“Peranti perubatan halal membuka sekurang-kurangnya 50 peratus pasaran global dalam peranti perubatan halal, halal pelancongan dan logistik halal. Kita juga boleh bekerjasama bersama-sama negara-negara OIC untuk mengadaptasi persijilan halal sebagai satu standard global,” katanya.

Johari berkata PERANTIM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri bagi membawa agensi pensijilan peranti perubatan dari Eropah untuk bersama membuka cawangan di Malaysia.

Beliau berkata perkara itu bertujuan memudahkan, mempercepat dan juga mengurangkan kos pensijilan audit bagi pengilang peranti perubatan tempatan, yang merancang menembusi pasaran Eropah.

Johari turut menjangkakan kerjasama antarabangsa ini bakal direalilisasikan pada awal tahun hadapan, sekali gus akan menyaksikan peningkatan ekport produk peranti perubatan buatan Malaysia ke Eropah secara drastik dan membuka banyak peluang perniagaan dan peluang latihan untuk pelajar universiti.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan