AM

JHEAIK TAHAN 21 INDIVIDU DIPERCAYAI PENGIKUT SYIAH

18/10/2024 10:49 AM

ALOR SETAR, 18 Okt (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menahan 21 individu termasuk enam kanak-kanak yang dipercayai pengikut Syiah pada Selasa lepas. 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAIK Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajudiin berkata pihaknya menerima maklumat bahawa pengikut-pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah ke-11, Imam Hasan Al-Askari di sebuah rumah didakwa sebagai ketua Syiah negeri ini di Pendang.

"Sehubungan itu, JHEAIK bersama polis telah melaksanakan Operasi Khas Syiah pada 9.50 malam Selasa. Setelah pemeriksaan dilakukan, pegawai penguat kuasa menahan enam lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak berusia antara 3 hingga 77 tahun di lokasi itu.

"Turut dirampas kitab-kitab serta barangan yang dikaitkan dengan ajaran berkenaan. Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

Pada 15 Jun 2014, ajaran dan fahaman Syiah telah diwartakan bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam, khususnya di Kedah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan