EKONOMI

GEM EDUCATION KOMITED PERUNTUK RM100 JUTA SOKONG ASEM BANGUN BAKAT SEMIKONDUKTOR

18/10/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Global EduTech Management Group (GEM Education) komited untuk memperuntukkan RM100 juta bagi menyokong Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) membangunkan bakat bertaraf dunia dan menyediakan pendidikan berkaitan industri bagi masa depan digital yang dipacu semikonduktor.

Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam satu kenyataan hari ini,  berkata pelaburan strategik syarikat yang berdaftar di Hong Kong itu dijangka dapat meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam pasaran semikonduktor global dan mempercepatkan pembangunan bakat dan penyelidikan tercanggih.

Semasa hari kedua Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital (SDEC) Selangor 2024 pada Khamis, ASEM turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LOI) dengan 19 rakan universiti.

"Perjanjian ini memberi tumpuan kepada kerjasama dalam pembangunan bakat, pertukaran penyelidikan dan projek bersama, memupuk hubungan yang lebih kukuh antara sektor akademik dan industri," kata Sidec.

ASEM, yang dahulunya dikenali sebagai AI Nusantara, ialah inisiatif perintis oleh Selangor Digital School, yang diwujudkan bersama oleh The Hive Southeast Asia dan Sidec.

Selain permeteraian MoU itu, 30 pensyarah telah menamatkan pengajian selepas berjaya menamatkan program Train-the-Trainer (TTT), yang dijalankan secara dengan kerjasama Sidec, The Hive Southeast Asia, dan Taiwan AI Academy.

Program itu bertujuan meningkatkan kemahiran pendidik dalam pendidikan semikonduktor, melengkapkan mereka dengan instrumen untuk memupuk generasi seterusnya profesional teknologi.

Selain itu, hari kedua SDEC juga meraikan kejayaan 450 bakat yang menamatkan latihan khusus di bawah ASEM, setelah menamatkan kursus dalam bidang seperti Reka Bentuk Aplikasi LLM dan Pengesanan Objek.

Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju sebagai peneraju teknologi di Malaysia pada masa depan.

Pameran SDEC 2024, yang bermula pada Rabu, telah menarik perhatian penonton dengan pameran inovasi tercanggih yang menampilkan pelbagai teknologi berkuasa kecerdasan buatan (AI).

Pameran yang disertai lebih 200 pempamer dari seluruh dunia itu menyediakan platform untuk peneraju industri, syarikat pemula niaga dan pelabur untuk menjalin rangkaian, membentuk perkongsian dan meneroka kemajuan teknologi terkini.

Sebagai salah satu sorotan utama konvensyen, pameran itu menarik perhatian pemimpin perniagaan dan peminat teknologi yang tidak sabar-sabar untuk mengalami pengalaman masa depan AI, robotik dan transformasi digital.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan