AM

UNIT UDARA JBPM BANTU ORANG ASLI GUA MUSANG DAPATKAN RAWATAN

18/10/2024 03:27 PM

GUA MUSANG, 18 Okt (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan membawa seorang lelaki Orang Asli dari Pos Simpor, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam. 

Penolong Penguasa JBPM Amir Fitri Salim berkata pesakit dikenali sebagai Ayed Along, 51, menaiki pesawat jenis Agusta A109E yang berlepas dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, pada 12.50 tengah hari.

Beliau berkata pesakit  berkenaan tidak dapat berjalan lebih seminggu lepas, kerana mengalami luka dan bengkak pada bahagian kaki.

“Selain itu, pesakit juga hilang selera makan dan minum. Justeru pesawat membawa pesakit keluar bersama seorang pengiring untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amir Fitri berkata anak kapal tiba di padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang pada 2.35 petang itu dan pesakit telah diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan