EKONOMI

KERAJAAN KOMITED LAKSANA CUKAI MINIMUM GLOBAL PADA 2025 – KEMENTERIAN KEWANGAN

18/10/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan komited untuk melaksanakan Cukai Minimum Global (GMT) pada tahun 2025, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata Malaysia akan memperoleh manfaat daripada penyertaan aktif dalam pelaksanaan GMT yang akan meningkatkan reputasi negara di peringkat antarabangsa, melindungi asas cukai dan menggalakkan persekitaran perniagaan yang stabil.

Pelaksanaan GMT boleh meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan perusahan multinasional (MNE) dan akhirnya meningkatkan kutipan hasil kerajaan dalam jangka masa panjang, kata Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025 yang dikeluarkan, hari ini.

"Malaysia perlu mempunyai rangka kerja percukaian yang berkesan bagi menggalakkan aktiviti pelaburan dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

"Justeru, Malaysia dapat memastikan kejayaan pelaksanaan GMT dengan pengenalan langkah perundangan khusus dan kerjasama dengan bidang kuasa lain di samping terus memantau perkembangan global," katanya.

Kementerian Kewangan berkata penjanaan hasil yang mampan membolehkan kerajaan meningkatkan kewangan awam, menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk rakyat dan memastikan kestabilan makroekonomi.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan GMT memerlukan kerajaan menambah baik undang-undang dan sistem pentadbiran cukai berkaitan secara berterusan, yang melibatkan pindaan perundangan sedia ada supaya selari dengan amalan terbaik percukaian global.

"Pelaksanaan GMT yang berkesan juga memerlukan sumber yang kukuh termasuk bakat mahir dan teknologi yang sesuai bagi memastikan pematuhan dan penguatkuasaan pembaharuan cukai.

"Kerajaan juga perlu meningkatkan dan merangka strategi pelaburan negara yang lebih mantap selaras dengan aspirasi rangka kerja Ekonomi MADANI," katanya.

Selain itu, katanya,  pentadbiran cukai juga harus memberikan kepastian dan kebolehjangkaan yang lebih baik dalam perundangan dan sistem cukai dengan insentif percukaian diberikan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan serta kriteria yang jelas dan telus. 

"Prosedur pentadbiran perlu diperkemas melalui kajian dan pengukuhan tata kelola pentadbiran cukai secara menyeluruh bagi memastikan keberkesanan dalam menarik pelaburan berbanding kemungkinan kehilangan hasil.

"Penambahbaikan pentadbiran cukai ini bagi memastikan GMT boleh dilaksanakan dengan berkesan di samping daya tarikan pelaburan dikekalkan atau diperhalusi terutamanya kepada MNE," kata MOF. 

Satu perjanjian melalui pendekatan ‘two-pillar’ untuk memastikan perundangan dan persekitaran cukai yang konsisten dan telus telah dibangunkan di bawah Rangka Keria Inklusif Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)/G20 mengenai penghakisan asas dan pemindahan keuntungan (BEPS) sejak 2013.

Pillar One mengubah peraturan bagi peruntukan keuntungan serta perhubungan manakala Pillar Two menetapkan GMT pada kadar efektif 15 peratus untuk MNE dengan hasil global melebihi €750 juta.

Pada masa ini, semua 147 negara anggota Rangka Kerja Inklusif OECD/G20 mengenai BEPS telah bersetuju dengan kadar GMT sebanyak 15 peratus ke atas keuntungan global MNE.

Sehingga 7 Jun, 2024, sebanyak 45 negara telah menggubal deraf atau meluluskan undang-undang yang menggabungkan peraturan model Pillar Two dalam rangka kerja perundangan.

Di rantau ASEAN, Malaysia dan Vietnam telah mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan dan mengguna pakai GMT dalam dasar cukai domestik, manakala Indonesia, Singapura dan Thailand sedang dalam proses merangka perundangan yang berkaitan dengan GMT.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan