AM

MALAYSIA DIJANGKA RAIH MANFAAT PENINGKATAN PELANCONG TAHUN DEPAN

18/10/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia dijangka meraih manfaat daripada peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa tahun depan selaras dengan pemulihan menyeluruh industri pelancongan dan perjalanan global, demikian menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Sehubungan itu, laporan berkenaan menyatakan Belanjawan 2025 akan memberikan penekanan kepada penambahbaikan kemudahan dan sistem di semua pintu masuk.

Ia bagi memperkukuh kesediaan negara dalam memanfaatkan penganjuran pelbagai mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) peringkat antarabangsa dan serantau termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta program tahun melawat negeri 2025.

Menurut dokumen setebal 204 muka surat itu, kerajaan juga akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui strategi pengiklanan menyeluruh dan penyertaan aktif dalam Ekspo Dunia.

“Usaha berkenaan dijangka mengembalikan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa pada tahap prapandemik seterusnya memperkukuh semula status negara sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, sebagai langkah mempelbagaikan lagi sektor pelancongan negara, kerajaan akan memanfaatkan program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) dengan menarik minat penyertaan warga asing yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi menetap di Malaysia bagi tempoh jangka panjang.

Langkah berkenaan termasuk mempermudah proses kelulusan lebih mesra pengguna untuk meningkatkan daya tarikan program kepada pesara, ekspatriat, pelancong perubatan dan pelabur asing.

“Program MM2H dijangka memberikan kesan limpahan kepada ekonomi domestik terutamanya dalam bidang hartanah, penjagaan kesihatan dan pendidikan seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi kediaman pilihan kedua,” demikian menurut laporan itu.

Sementara itu, bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi perniagaan, Belanjawan 2025 akan memperkukuh pelaksanaan amalan pengurusan baik, menggalakkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penerimagunaan teknologi termaju.

Selain itu, peraturan sedia ada akan dikaji semula bagi meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan dan proses birokrasi akan diselaraskan untuk mempercepat pelaksanaan projek.

Inisiatif lain adalah penambahbaikan sistem pentadbiran, digitalisasi perkhidmatan awam dan pelaksanaan peraturan yang lebih fleksibel akan diteruskan untuk menambah baik tata kelola demi memperkukuh daya saing negara.

Belanjawan 2025 juga akan terus menggalakkan pelaburan bagi menambah baik infrastruktur melalui penerimagunaan teknologi termaju di samping membangunkan bakat mahir dan berdaya saing dalam bidang berkaitan untuk menyokong industri logistik moden.

Langkah ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab logistik yang berdaya saing pada peringkat serantau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan