JENAYAH & MAHKAMAH

RASUAH, AKAUNTABILITI LEMAH HALANG KEMAJUAN EKONOMI

18/10/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  (Bernama) -- Amalan rasuah serta akauntabiliti yang lemah mendorong kepada ketidakcekapan penguatkuasaan undang-undang serta menjejaskan kepercayaan awam dan menghalang kemajuan ekonomi.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, kerajaan perlu memperkukuh integriti institusi, meningkatkan akauntabiliti sektor awam dan menggalakkan penglibatan lebih luas dalam proses tatakelola bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kemajuan pembangunan negara.

“Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) ditubuhkan untuk membendung rasuah, pembaharuan undang-undang dengan memperbaharui peraturan lapuk dan menambah baik institusi,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan daya saing yang diterajui inovasi memerlukan perniagaan dan negara untuk mengadaptasi dengan kepesatan perkembangan pasaran global.

Berdasarkan laporna itu, Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024 iaitu kedudukan tertinggi sejak 2016.

“Malaysia kekal di tangga kedua dalam kalangan negara paling inovatif bagi kategori Negara Berpendapatan Menengah Atas dan menduduki tempat pertama dalam tiga subpenunjuk kritikal iaitu graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan, teknologi tinggi dan eksport produk kreatif.

“Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu terus ditingkatkan memandangkan Perbelanjaan Dalam Negeri Kasar untuk R&D (GERD) kini hanya mencatat satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan dalam aspek kesejahteraan rakyat, fokus turut diberikan kepada struktur upah dengan menekankan pembaharuan institusi bagi mewujudkan mekanisme yang lebih menyokong seterusnya dapat meningkatkan struktur gaji secara signifikan.

“Malaysia telah mencapai purata pertumbuhan ekonomi signifikan sejak beberapa dekad. Selaras dengan pencapaian ini, kerajaan telah melaksanakan inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula secara berterusan bagi memenuhi permintaan industri dan menggalakkan kenaikan gaji.

“Selain itu, projek rintis dasar gaji progresif telah diperkenalkan bertujuan meningkatkan gaji sejajar dengan prestasi pekerja. Bagaimanapun, pasaran buruh masih berdepan tahap gaji rendah dengan gaji penengah dan purata hanya meningkat sekitar empat peratus setiap tahun,” menurut laporan itu.

Aspek kesejahteraan rakyat juga memberi fokus kepada mengurangkan kos sara hidup yang akan diteruskan dengan pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti Payung Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program bantuan sosial bersasar bagi mengimbangi kesan peningkatan kos sara hidup dalam kalangan kumpulan mudah terjejas.

“Peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan telah menyebabkan tekanan kewangan kepada isi rumah. Situasi tersebut boleh membebankan keluarga kurang berkemampuan seterusnya menyebabkan isi rumah terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana sukar untuk menyimpan serta melabur.

“Keadaan ini telah memburukkan lagi jurang sosioekonomi seterusnya menjejaskan keseluruhan kualiti hidup. Kesan kenaikan kos memerlukan langkah dasar yang komprehensif untuk meningkatkan taraf hidup,” menurut laporan itu.

Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur dan peluasan rangkaian yang menjadi tonggak kepada pembangunan negara terutamanya melibatkan projek jalan persekutuan dan negeri serta infrastruktur utama.

“Bagaimanapun, penyediaan infrastruktur berkualiti kekal menjadi cabaran di kawasan luar bandar dan kurang mendapat tumpuan seterusnya meluaskan jurang ketidaksamaan merentasi wilayah di Malaysia.

“Selain itu, pembangunan seimbang di seluruh negara penting untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas yang berkualiti dan terjamin seperti air terawat, elektrik, ketersambungan Internet dan rangkaian pengangkutan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan