EKONOMI

PENDAPATAN CUKAI TIDAK LANGSUNG, BUKAN CUKAI KE ATAS PENGELUARAN DAN IMPORT BERKEMBANG 7.8 PERATUS

18/10/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pendapatan daripada cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai ke atas pengeluaran serta import dijangka berkembang sebanyak 7.8 peratus pada tahun depan, berikutan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kutipan hasil dan melaksanakan asas cukai yang lebih luas.

Sebaliknya, Kementerian Kewangan (MOF) berkata perbelanjaan untuk subsidi dan insentif dijangka menurun sebanyak 3.4 peratus selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan lebih banyak program bantuan secara bersasar dan rasionalisasi subsidi bagi menambah baik keterlibatan selain mengurangkan keciciran. 

"Oleh itu, pendapatan daripada cukai bersih ke atas pengeluaran dan import diunjur menyumbang 3.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025," menurut kementerian itu dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Jangkaan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun hadapan dapat menjana peluang pendapatan yang lebih baik kepada tenaga kerja. 

Kementerian itu menjelaskan pelaksanaan kadar baharu gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam juga akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekerja.

Selain itu, usaha berterusan untuk menstrukturkan semula ekonomi dengan menggalakkan penggunaan automasi dan teknologi termaju, melonjakkan produktiviti melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran serta mengurangkan pergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah dapat memacu pertumbuhan pendapatan.

"Komponen lebihan kendalian kasar (LKK) diunjur berkembang sebanyak 6.2 peratus dan menyumbang 63.2 peratus daripada KDNK pada 2025 terutamanya disokong oleh aktiviti ekonomi domestik dan permintaan luar yang kukuh. 

"Sementara itu, pendapatan campuran untuk golongan bekerja sendiri atau usahawan bebas dijangka bertambah sebanyak 8.4 peratus dan menyumbang 15.8 peratus kepada KDNK selepas disokong oleh peningkatan permintaan untuk pekerjaan gig, seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pendapatan kepada kumpulan ini," kata MOF.

Kementerian itu memberitahu inisiatif untuk mewujudkan mekanisme yang lebih berstruktur bagi memperluas perlindungan sosial kepada golongan bekerja sendiri termasuk pekerja dalam sektor tidak formal dapat meningkatkan penglibatan individu untuk bekerja sendiri sebagai sumber pendapatan yang lebih stabil.

LKK kekal sebagai komponen pendapatan terbesar berjumlah RM1.2 trilion walaupun bahagian kepada KDNK berkurang kepada 64.8 peratus pada 2023.

"Secara keseluruhan, bahagian LKK kepada KDNK diunjur mencatat 63.6 peratus pada 2024 dengan sebahagian besar faedah pertumbuhan akan kekal diraih oleh pemilik modal," kata MOF.

Sementara itu, bahagian cukai bersih ke atas pengeluaran dan import kepada KDNK menokok secara sederhana kepada 2.1 peratus pada 2023 didorong oleh kenaikan dalam hasil cukai dan pengurangan ketara dalam perbelanjaan subsidi dan insentif, tambah MOF.

Kementerian itu berkata sebahagian besar subsidi petroleum terus dikekalkan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mendepani peningkatan kos sara hidup. 

Pada 2024, pendapatan daripada cukai bersih dijangka berkembang sebanyak 63.1 peritus, disokong oleh usaha berterusan untuk merangsang kecekapan pengurusan cukai dan kenaikan cukai jualan serta cukai perkhidmatan, kata MOF lagi. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan