AM

AMBULANS BAWA WANITA HAMIL REMPUH LEMBU DI GUA MUSANG

18/10/2024 05:25 PM

GUA MUSANG, 18 Okt (Bernama) -- Sebuah ambulans membawa seorang wanita yang hendak bersalin  merempuh seekor lembu di Kilometer 30 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ambulans tersebut dalam perjalanan ke Hospital Sultan Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai ketika kemalangan berlaku pada kira-kira 4 pagi.

“Siasatan awal mendapati pemandu ambulans dari Hospital Gua Musang untuk menghantar wanita yang hendak bersalin itu tidak sempat mengelak lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan berlaku perlanggaran.

"Pemandu ambulans, doktor dan pesakit yang dibawa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dihantar ke HSIP menggunakan ambulans lain dari Gua Musang untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. 

Beliau berkata pemilik ternakan juga ditegaskan supaya sentiasa peka dan mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan memastikan lembu mereka tidak berkeliaran bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Pemilik ternakan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran hingga mengakibatkan kemalangan jalan raya dan boleh disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan," katanya.

--BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan