JENAYAH & MAHKAMAH

TLDM FOKUS EMPAT TERAS UTAMA BAGI TINGKATKAN KESIAPSIAGAAN ARMADA

18/10/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) –Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan terus memberi tumpuan kepada empat teras utama bagi memperkukuhkan kekuatan dan kesiapsiagaan angkatan laut dalam menjaga keselamatan dan melindungi perairan negara.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata ini emastikan keupayaan TLDM dalam melaksanakan operasi dan peperangan dalam keempat-empat dimensi peperangan iaitu udara, atas permukaan, bawah permukaan air dan secara elektronik.

Beliau berkata teras pertama adalah dengan memastikan kesiagaan armada melalui pengurusan dan senggaraan armada secara komprehensif dan terancang.

“Mengambil kira cabaran jumlah aset sedia ada berbanding tuntutan operasi semasa, hanya dengan tahap kesiagaan yang tinggi sahaja membolehkan kita dapat mencapai sasaran penugasan sepenuhnya.

“Kesiagaan armada adalah nadi kejayaan operasi TLDM manakala keupayaan armada untuk bertindak balas dengan pantas serta efisien terhadap sebarang ancaman atau cabaran di laut adalah faktor penentu dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan maritim negara tercinta,” katanya dalam perutusan ulungnya kepada warga TLDM di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Zulhemly dilantik sebagai Panglima Tentera Laut yang ke-19 pada 23 Sept lalu menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara.

Panglima TLDM berkata dalam usaha memastikan kesiagaan armada berada pada tahap tertinggi, aspek penyelenggaraan kapal-kapal TLDM perlu diberi penekanan dan perhatian serius serta tidak boleh dipandang ringan.

“Teras kedua ialah memperkasa Pelan Penjajaran Pelan Transformasi '15 to 5' (PLATFORM) bagi menangani isu keusangan dan meningkatkan keupayaan armada.

“Pelan ini merupakan inisiatif pelan perolehan dan penggantian kapal yang lebih moden dengan teknologi terkini dan dibina di dalam negara oleh limbungan-limbungan tempatan,” katanya.

Secara amnya, katanya, TLDM melalui PLATFORM memberi tumpuan kepada perolehan aset baharu yang dijangka dapat menyelesaikan masalah kekangan jumlah kapal, penggantian kapal usang dengan kapal yang mempunyai peningkatan keupayaan serta pelaksanaan selenggaraan yang efisien.

Zulhelmy berkata pelan tersebut perlu mendukung hasrat Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0)dan pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH).

Seterusnya, dalam teras ketiga, katanya ia berfokus pada pengukuhan integrasi dan sinergi antara angkatan serta penggabungan, yang menjadi satu keperluan dalam hampir semua operasi pertahanan.

“Dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, kita tidak lagi boleh bergerak sendirian. Kepakaran, sumber daya dan teknologi yang berbeza perlu diintegrasikan melalui semangat kebersamaan yang kukuh.

“Ini termasuk kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) , Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta kerjasama dengan sektor awam, industri, dan komuniti antarabangsa.

Pendekatan 'Whole of Government and Whole of Government and Whole of Society (WoGoS) adalah kunci kepada jalinan kerjasama ini dan merupakan kaedah terbaik dalam menangani cabaran masa hadapan,” katanya.

Untuk teras keempat, Zulhelmy berkata ia melibatkan pengurusan sumber manusia bagi menjamin kekuatan dan keberkesanan TLDM dan ia tidak boleh hanya bergantung kepada aset dan teknologi, tetapi juga kepada pengurusan sumber manusia yang cekap dan berdaya saing.

“TLDM perlu menyediakan laluan kerjaya yang jelas dan peluang kenaikan pangkat berdasarkan merit dan prestasi. Dengan cara ini, perkhidmatan dapat memastikan setiap anggota berasa dihargai dan bermotivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Selain itu,katanya penambahbaikan terhadap dasar pengurusan sumber manusia, termasuk mengemas kini Struktur Laluan Kerjaya (SLK) dan Pembangunan Standard Kompetensi Tentera Laut (SKTL) akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mencapai objektif teras ini.

-- BERNAMA 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan