AM

KEMENTERIAN KOMUNIKASI PASTIKAN IKHTIAR BELANJAWAN 2025 DIFAHAMI RAKYAT - FAHMI

18/10/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi komited memastikan semua pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung Belanjawan 2025 akan sampai kepada setiap lapisan masyarakat di seluruh negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI akan digerakkan bagi mencapai tujuan tersebut.

“Ini bagi memastikan lebih daripada 50 ikhtiar yang telah diumumkan Perdana Menteri, difahami dan diterapkan supaya semua peringkat masyarakat mendapat maklumat ini.

“Bukan hanya melalui media sosial, tetapi juga di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM421 bilion, mengekalkan belanjawan mengembang meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata usaha penambahbaikan yang diterjemah dalam Belanjawan 2025, berteraskan kepada konsep keadilan, iaitu memberikan bantuan kepada yang sepatutnya.

“Tambahan kepada itu, kita juga lihat iltizam secara keseluruhan kepada pihak kerajaan untuk mengurangkan defisit, mengurangkan hutang termasuk pinjaman baharu.

“Kita tidak boleh menafikan selain daripada peningkatan gaji bagi penjawat awam, Dasar Gaji Progresif dan juga penetapan kadar gaji minima yang baharu membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk menaikkan lantai ataupun to raise the floor memastikan pendapatan rakyat meningkat itu, akan menjadi satu realiti bermula tahun depan, insya-Allah,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2025, Anwar antaranya mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan