AM

KERAJAAN PERKASA PMKS WANITA MENERUSI DANA PEMBIAYAAN RM470 JUTA

18/10/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM470 juta dana disediakan oleh SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan MARA bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset serta meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini adalah antara usaha kerajaan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja.

Beliau berkata selain itu, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) akan diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan kaum hawa.

"Purata wanita memegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Saham adalah pada kadar 32.2 peratus setakat 10 Okt.

"Kendatipun sasaran 30 peratus penglibatan wanita telah kita capai, ini masih belum dipenuhi oleh 39 syarikat dalam lembaga pengarah mereka, justeru kerajaan menyeru supaya sasaran ini dicapai oleh semua syarikat sebelum akhir 2027,” katanya.

Perdana Menteri berkata Program Returnship juga akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.

Beliau berkata program anjuran Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti itu akan menyediakan kemudahan latihan serta menghubungkan mereka dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.

“Kerajaan bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyaka 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata bayi baharu lahir berisiko tinggi dijangkiti Hepatitis B dan keadaan ini perlu dibendung, justeru kerajaan menyediakan RM5 juta untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan.

“Usaha ini bagi memulakan pengesanan dan rawatan awal penyakit dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan produktif,” katanya.

Beliau juga berkata peruntukan kebajikan warga emas ditingkatkan mencecah RM1 bilion bagi membiayai bantuan tunai, wang saku institusi warga emas dan pusat aktiviti.

“Kerajaan juga bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu berkaitan aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan disemak semula bagi memelihara kebajikan selain menjamin penjagaan warga emas termasuk pelepasan cukai perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas meliputi kos pemvaksinan,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kesejahteraan komuniti orang kurang upaya (OKU) turut dibela menerusi peruntukan bantuan kepada golongan itu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion.

Beliau berkata syarat kelayakan gaji bagi menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU akan ditingkatkan kepada RM1,700 berbanding RM1,500 manakala kemudahan pembiayaan melalui Skim Sinar BSN disediakan dengan dana RM50 juta untuk OKU menceburi perniagaan.

“Kerajaan juga akan meringankan tanggungan pembayar cukai OKU dengan cadangan pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000.

"Pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000 dan pelepasan cukai bagi pembayar cukai mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan